IPOH – Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes curi motosikal di sebuah pasar raya di Puncak Iskandar, Seri Iskandar sepertimana video viral di laman sosial tampil membantu.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hasan berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti penjenayah terbabit yang disyaki orang tempatan.
“Usaha sedang dijalankan untuk mengesan dan menangkap suspek.
“Jika sesiapa yang mengetahui tentang kejadian atau mengenali individu dalam video berkenaan, boleh tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam video hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit itu menunjukkan seorang lelaki menghisap rokok berlegar di ruang kaki lima yang turut menempatkan sebuah motosikal.
Dia kemudiannya menghampiri motosikal berkenaan sambil memegang satu objek dan bertindak mengumpil bahagian depan motosikal sebelum melarikan kenderaan berkenaan.
Kejadian jam 9.17 pagi itu dilaporkan berlaku kelmarin, di sebuah pasar raya di Puncak Iskandar.