SELEPAS muncul dalam telefilem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, Randy Pangalila terus bersikap positif mengembangkan karier seni di Malaysia.
Bahkan, Randy atau nama sebenarnya, Randy Dionisius Pangalila mengakui tidak menang tangan menguruskan kerjaya seninya di sini.
Rentetan itu, selebriti berusia 26 tahun ini mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat pengurus di negara ini, sejak Februari lalu.
Katanya, sebelum ini, teman seperjuangannya, Elfira Loy kerap membantu sekiranya ada tawaran atau uji bakat lakonan di Malaysia.
“Saya mula berlakon di Malaysia, sejak tahun 2011.
“Sejak itu, saya menerima pelbagai tawaran berlakon di negara ini.
“Tawaran pula semakin banyak, jadi saya fikir tidak salah untuk melantik pengurus di negara ini,” katanya pada Sinar Harian.
Biarpun sudah mempunyai pengurus, kata Randy, pelantikan pengurus di Malaysia bertanggungjawab dalam mengemas kini semua jadual kerjaya seni di negara ini.
“Selepas ini, setiap urusan mengenai kerjaya seni di Malaysia akan menjadi lebih mudah.
“Kedua-dua pengurus saya ini pula akan saling berbincang demi mengelakkan sebarang pertindihan jadual.
“Saya juga berharap agar pengurus akan sentiasa mencari peluang baru untuk saya nanti,” katanya.
Pun begitu, situasi itu bukan bermakna pelakon sinetron Nada Cinta ini hanya akan berfokus pada kerjaya seni di negara ini.
“Saya tak pernah cakap saya hanya akan menerima tawaran di sini.
“Lagipun, Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang saya cintai,” katanya.
Pada masa sama, kesibukan itu juga menuntutnya untuk kerap berulang-alik di antara kedua-dua negara tersebut.
“Saya masih muda, sebab itu bersemangat,” katanya sambil tertawa.
Tampil dengan The Secret
Berbicara mengenai kerjaya seninya, Randy mengakui tidak mudah untuk mengecap kejayaan seperti hari ini.
“Saya memulakan karier lakonan di Indoneaia sejak 2005.
“Awalnya, saya melalui satu proses yang agak sulit apatah lagi terlalu banyak persaingan di sana.
“Kerana itu, saya perlu berusaha gigih dalam menempatkan nama,” katanya yang turut bergelar model dan penyanyi di Indonesia.
Bakal menghasilkan album, The Secret, Randy turut merancang mengeluarkan buku autobiografi dan produk wangian, pada Januari nanti.
“The Secret merangkumi satu maksud yang luas.
“Saya mahu ia berkaitan di antara album, autobiografi dan produk wangian tersebut,” katanya.
Jelasnya, buku autobiografi ini akan mendedahkan rutin harian, amalan pemakanan, senaman dan tentu sekali tip berguna demi menjaga kesihatan.
“Setiap hari, saya akan menulis tip berguna yang akan dimuatkan dalam buku ini sejak beberapa bulan lalu.
“Saya mahu peminat dan khalayak mendapatkan maklumat yang betul dalam menjaga kesihatan selain mendapatkan bentuk tubuh yang menarik.
“Sebelum ini, ramai yang bertanya bagaimana saya menjaga kesihatan dan senaman walaupun sibuk dengan kerja.
“Jadi, saya berkongsi semua rahsia dan tip di dalam buku ini,” katanya.
Sementara itu, Randy bakal muncul dalam telefilem Oh My English!: Road to Jogja Part 2 yang akan disiarkan di Astro TVIQ (saluran 615), Astro Maya (saluran 135) dan Astro Prima (saluran 105), jam 9 malam pada 11 Disember ini.
Randy mengakui tertarik dengan tawaran itu kerana telefilem berkenaan menjalani penggambaran di Jogjakarta, Indonesia.
“Ini kali pertama saya bekerjasama dengan produksi Oh My English dan pengalaman itu sangat menyeronokkan kerana ia bukan sekadar drama biasa tetapi ada pendidikan yang diketengahkan.
“Saya juga dapat berkongsi keindahan negara saya kepada penonton sekali gus mempromosikan Indonesia sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kini, Randy sibuk menjalani penggambaran telefilem Gantung dan drama bersiri, Cik Drama Queen.