KUANTAN – Seorang pelajar dari Indera Mahkota 2, di sini, memerlukan RM50,000 untuk kos menjalani pembedahan tulang belakangnya yang semakin membengkok.
M Rinahsri, 15, yang dijaga ibu dan bapa saudara sejak kecil setelah kematian ahli keluarganya disahkan mengidap masalah tulang belakang sejak berusia 11 tahun.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar itu berkata, selepas empat tahun menanggung masalah tulang belakangnya itu, doktor menyarankan supaya dia melakukan pembedahan untuk membetulkan kembali kedudukan tulang yang semakin membengkok.
“Saya sendiri tak sedar perubahan pada bentuk badan saya namun setelah ditegur ibu dan bapa saudara yang melihat bahu saya seperti tertekan ke hadapan, mereka mula membawa ke hospital buat  pemeriksaan.
“Pada mulanya tak terasa sakit dan memberi kesan tetapi tahun demi tahun saya sudah mula merasa sakit terutama ketika duduk dan berdiri terlalu lama, malah kdang-kdang pernafasan turut terganggu.
“Pemeriksaan awal menunjukkan tulang belakang saya hanya bengkok  36 darjah namun setelah saya makin membesar, keadaannya bertambah bengkok melebihi 59 darjah hingga saya perlu jalani pembedahan segera sebelum umur 20 tahun,” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudaranya, di Indera Mahkota 2, di sini semalam.
Remaja itu berkata, disebabkan masalah tulang belakangnya itu, aktiviti harian dan pembelajarannya terganggu.
“Dalam kelas saya tak boleh duduk terlalu lama, malah saya langsung tidak boleh jalani aktiviti sukan  yang lasak seperti kawan-kawan lain malahan sebarang kerja rumah pun tak dibenarkan.
“Melihatkan keadaan fizikal saya, memang seperti tak ada sebarang masalah namun tidak sama seperti orang normal lain. Saya tidak boleh tidur secara baring telentang, hanya boleh mengiring sahaja.
“Ada masa tak sakit jika saya boleh kawal pergerakan seharian tetapi jika saya banyak terdedah kepada aktiviti luar, kesakitan boleh datang menyerang dan sukar untuk bergerak serta tidur kerana sakitnya luar biasa,” katanya.
Menurutnya, kos perubatan diperlukan belum mencukupi namun dia akan berusaha mendapatkannya supaya pembedahan dapat dijalankan Januari ini.
“Memandangkan saya sudah tak ada ibu bapa malah abang juga meninggal dua tahun lalu, kini saya hanya harapkan pertolongan daripada ibu dan bapa saudara sahaja,” katanya.
Menurutnya, dia juga memerlukan dana untuk rawatan susulan selepas menjalani pembedahan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di ibu negara nanti.
“Walaupun doktor ada beritahu pembedahan nanti boleh mengakibatkan saya lumpuh, namun saya tetap mencuba dan bertawakal kerana masih ada orang lain yang dapat kembali normal,” katanya yang pernah menerima sumbangan daripada Charity East Coast Branch dan Lions Club.
Bantuan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0610029000576971 atau hubungi talian 013-3713957.