KUANTAN - Seorang remaja perempuan yang satu ketika dahulu sihat dan aktif kini hanya mampu terlantar akibat penyakit kronik dihidapi sejak setahun lalu.
Nur Khairunnisa, 19, anak sulung pasangan Hasri Hassan, 43, dan  Rahimah Yusof, 39, disahkan mengidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) selepas sering mengalami demam dan lenguh sendi berpanjangan.
Hasri berkata, tubuh badan Nur Khairunnisa  semakin lemah dan  tahap kesihatannya sekarang jauh berbeza kesan penyakit tersebut.
“Setiap kali tengok dia, saya macam tak sanggup nak keluar rumah. Selain penyakit kulit kronik, Khairunnisa juga mengalami kerosakan buah pinggang dan paru-paru sebab tak ada antibodi. Selera makannya terjejas sebab selalu muntah.
“Kebelakangan ni makin teruk, dia tak boleh bangun dan duduk sendiri tanpa bantuan. Dia hanya mampu baring dan duduk diam saja," katanya , semalam.
Hasri yang tinggal di Felda Neram Satu, Kemaman (sempadan Kuantan) berkata, pada mulanya dia hanya menyangka anaknya mengalami demam denggi sebelum  membawanya untuk rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan pengesahan, September tahun lalu.
“Hampir dua bulan tunggu, hospital beritahu penyakit ni tak ada penawar dan rawatan diberikan cuma ubat untuk kawal. Bermula dari itu, terpaksa berulang alik ke HTAA lima kali sebulan,” katanya.
Tambahnya, selain ubat-ubatan hospital, dia turut diberikan produk kesihatan yang berada di pasaran dan menjalani perubatan tradisional.
Menurutnya, pelbagai kekangan terpaksa dilalui untuk memberi perhatian kepada anaknya dan dia terpaksa berhenti bekerja di sebuah syarikat pembinaan berikutan keadaan Khairunnisa yang semakin membimbangkan.
“Bagi menanggung keluarga dan kos rawatannya, saya buka kedai runcit berhampiran rumah.
“Sebelum ini, masa masih bekerja saya berhabis wang hampir RM8,000 sebulan untuk kos ulang-alik ke hospital, rawatan, beli 10 jenis ubat termasuk makanan tambahan dan produk kesihatan,” katanya.
Katanya disebabkan Khairunnisa semakin kritikal, perniagaannya juga terbantut kerana dia perlu memberi tumpuan kepada anaknya itu.
“Dia terpaksa berulang alik ke hospital dan setiap kali ditahan di wad selama dua minggu hingga 20 hari, kami berkampung di sana menunggunya.
“Keadaan ini menyebabkan pendapatan terjejas dan terpaksa bergantung ubat hospital, selain hanya mampu beli dua jenis  ubat dan makanan tambahan,” katanya yang mempunyai empat lagi anak.
Menurutnya, setakat ini, mereka tidak menerima sebarang bantuan daripada mana-mana pihak.
“Saya pernah memohon bantuan kira-kira lima bulan lepas tapi belum dapat jawapan. Sebab tu saya tak buat lagi sebarang permohonan baru sama ada di Pahang atau Terengganu," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyampaikan sumbangan ke akaun Maybank 156094215667 atas nama Rahimah Yusof atau menghubungi Hasri Hassan di talian 0111-9999 9338
.