SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menyambut ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-71.
Baginda Sultan lahir pada 11 Disember 1945 di Istana Jemaah, Klang (kini menjadi Kolej Islam Sultan Alam Shah) hasil pernikahan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dengan Raja Nor Saidatul Ehsan Tengku Badar Shah.
Baginda merupakan anak sulung, manakala adik-beradik yang lain ialah Tengku Puteri Sofiah, Tengku Sulaiman Shah (Tengku Panglima Diraja Selangor), Tengku Puteri Seri Zanariah, Tengku Abdul Samad Shah (Tengku Panglima Besar), Tengku Puteri Arafiah dan Tengku Puteri Aishah.
Sultan Selangor juga menuntut ilmu di Sekolah Melayu Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur pada tahun 1950 dan St John’s Institution, Kuala Lumpur.
Pada 1960 pula, baginda melanjutkan pelajaran di Hale School di Perth, Australia dan seterusnya belajar di Kolej Langhurst di Surrey, Britain pada 1964. Baginda pernah menjawat jawatan sebagai pegawai di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Pada 3 September 1960, baginda dilantik menjadi Raja Muda Selangor ke-8 dan majlis pertabalan diadakan pada 1970 di Istana Alam Shah, Klang.
Pada 24 April 1999, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Selangor berikutan ayahandanya dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-11.
Baginda merupakan Sultan Selangor ke-9 yang memerintah negeri Selangor sejak 22 November 2001 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.
Pada tahun 1968, baginda berkahwin dengan Raja Zarina Raja Tan Sri Zainal dan dikurniakan dua puteri, Tengku Zerafina dan Tengku Zatashah.
Setelah berpisah pada 1986, baginda berkahwin dengan seorang warga Amerika Syarikat, Nur Lisa Idris Abdullah pada tahun 1988 (berpisah pada 1997) dan mempunyai seorang putera, Tengku Amir Shah (kini merupakan Raja Muda Selangor) hasil perkahwinan tersebut.
Sementara itu, sambutan ulang tahun keputeraan baginda kali ini pasti lebih bermakna berbanding tahun-tahun sebelumnya dengan kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman di sisi baginda.
Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin selamat diijabkabulkan dalam satu majlis ringkas pada 31 Ogos lalu.
Masih tidak terlewat kiranya seluruh rakyat negeri Selangor untuk mengucapkan sembah tahniah sekali lagi.
Seperti yang kita semua sedia maklum, Tengku Permaisuri sebelumnya merupakan penyampai berita sebuah stesen televisyen tempatan yang berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.
Penyatuan di majlis pernikahan yang disempurnakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang secara sederhana itu ternyata disambut positif dan gembira oleh seluruh rakyat jelata.
Yang pasti, setiap kali mengiringi baginda ke setiap majlis, Tengku Permaisuri Norashikin tidak pernah gagal mencuri tumpuan berikutan sering menguntum senyum dan kelihatan cukup mesra menyantuni rakyat.
Tengku Permaisuri Norashikin dilihat melengkapi kehidupan Tuanku Sultan yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Setiap kali timbul sebarang isu yang mengganggu-gugat kepentingan rakyat, baginda pasti bertitah menggesa pihak berkaitan mengambil langkah penyelesaian segera.
Di samping keprihatinan baginda itu, selaku Ketua Agama Selangor, agama Islam menjadi agenda yang mesti dipertahankan dan baginda tidak sesekali mengizinkan Islam menjadi ‘mainan’ mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Rakyat Selangor seharusnya berbangga memiliki Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri yang cukup dekat di hati rakyat, sekaligus memastikan Selangor sentiasa maju, aman, makmur dan sejahtera.
Selamat Ulangtahun Hari Keputeraan Ke-71 kepada Sultan Selangor daripada seluruh rakyat jelata.