BENTONG - Seorang anak sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menjaga bapanya selepas diserang angin ahmar kali kedua pada tiga bulan lalu.
Z Rosmizan Abdul Rahman, 39, yang bekerja sebagai juruhebah radio di Seremban, Negeri Sembilan nekad berhenti kerja dan pulang ke kampung bagi menguruskan bapanya, Abdul Rahman Safri, 72.
Menurutnya, bapanya menghidap penyakit itu sejak setahun lalu, namun tidak seteruk kali ini.
“Sebelum ini ayah kena strok kat bahagian tangan kanan saja...dan telah menunjukkan kesan positif untuk sembuh.
“Tapi tiga bulan lepas, dia tiba-tiba tumbang dan bila dibawa ke hospital, doktor sahkan ayah kena strok di badan sebelah kirinya pula...sekarang dia hanya mampu terlantar sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Felda Chemomoi di sini, semalam.
Rosmizan berkata, bapanya merupakan bekas tentera dan pernah berkhidmat di Kem Pengkalan Chepa, Kelantan selain juga merupakan seorang peneroka.
“Sekarang saya hanya bekerja jadi deejay kenduri kahwin ...bila dah tak ada kerja tetap, rasa jugalah bebannya. Sebab kena sedia kos keperluan dan urusan rawatan berkala ayah di hospital. Nak harapkan elaun sara diri ayah sebagai peneroka Felda pun tak cukup.
“Saya terpaksa pinjam kerusi roda daripada hospital dan duit yang ada digunakan untuk keperluan asas terlebih dahulu seperti beli lampin dan juga untuk kos rawatan.
“Ayah disaran guna susu khas tapi sebab tak mampu saya hanya beri dia susu biasa sahaja buat masa ni,” katanya.
Katanya, setakat ini bapanya tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak termasuklah daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat dan juga pihak Jabatan Veteran Angkatan Tentera.
“Saya harap sangat ada pihak yang prihatin sudi bantu, sebelum ni saya pernah mohon bantuan JKM tapi mereka kata ayah tak layak dapat bantuan sebab dia peneroka Felda,” katanya.
Sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 014-5375978 atau menyalurkan sumbangan ke akaun bank Agrobank Rosmizam bin Abdul Rahman (2-00-6321-00095559-4).