REMBAU - Seorang warga emas di Kampung Mampong, di sini, terkejut apabila melihat sebatang pokok pisang yang ditanam di halaman rumahnya mengeluarkan lima jantung pisang sejak dua minggu lalu.
Sojah Ismail, 74, berkata, dia mula menyedari kelainan pada pokok pisang jenis 40 hari itu kira-kira dua minggu lalu apabila melihat pokok berkenaan mengeluarkan dua jantung dari setandan pisang.
Menurutnya, beberapa hari selepas itu, setandan lagi pisang keluar daripada pokok yang sama dan turut mengeluarkan dua jantung pisang.
“Saya beritahu anak-anak. Bila anak saya pulang Selasa lalu, dia pula lihat ada satu jantung pisang keluar lagi. Tak pernah pula sepanjang saya hidup ni lihat sebatang pokok pisang boleh keluarkan lima jantung pisang.
“Ada juga penduduk yang datang lihat pokok pisang ini dan mereka juga terkejut. Walaupun pelik, kami anggap ini semua kuasa ALLAH,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mampong, di sini, semalam.
Sojah berkata, pokok pisang berkenaan ditanam beberapa bulan lalu oleh menantu sulungnya, Johar Thabic, 50-an, yang merupakan bekas Pegawai Waran Maritim di Pusat Latihan Maritim.
Menurutnya, kebiasaannya, setiap kali pulang ke kampung, menantunya itu gemar menanam pelbagai pokok di keliling rumah dan boleh dikatakan kesemua pokok berkenaan menjadi serta hidup subur.
“Benih ni menantu kata ambil dari Kuantan, Pahang. Bulan lepas kami sekeluarga dah merasa hasilnya...memang sedap.
“Kali ini pisangnya saya akan makan, tetapi jantungnya mungkin saya akan beri kepada penduduk,” katanya.