KUALA TERENGGANU – Jawatankuasa Surau Al Hidayah di Kampung Paloh atau Surau Kuning, di sini, bercadang membuat penambahan struktur bangunan surau itu bagi perbesarkan ruang berkenaan.
Pengerusi Projek Pembangunan Surau, Mohd Aris Chek berkata, pengubahsuaian itu libatkan penambahan ruang solat lelaki dan wanita serta ruangan jamuan.
Menurutnya, anggaran kos bernilai RM200,000 merangkumi struktur lantai, kemasan, atap, dan siling.
“Jawatankuasa surau bercadang untuk melaksanakan projek ini pada tahun 2018 yang dijangka hanya memakan masa setahun dan dapat disiapkan pada tahun sama.
“Justeru, saya berharap, orang ramai boleh membantu dengan memberi sumbangan sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan.
“Insya-ALLAH sumbangan daripada pihak tuan akan dinilai tinggi di sisi ALLAH SWT dan menjadi bekal di hari akhirat kelak,” katanya.
Mohd Aris berkata, surau berusia hampir 40 tahun itu mula dibaik pulih sejak lima tahun lalu iaitu menukar struktur kayu kepada simen.
Tambahnya, surau itu sangat aktif dengan program dan pelbagai aktiviti seperti ceramah agama dan juga kuliah Maghrib selain kegunaan untuk solat-solat harian.
“Setiap malam di sini ada ceramah agama manakala sebelah siang pula, tiga kali seminggu.
Setiap kali program diadakan di sini, orang ramai tidak dapat duduk dengan selesa di dalam surau kerana dapat menampung kira-kira 100 jemaah dalam satu-satu masa.
“Sebab itu jugalah kami selaku pihak jawatankuasa mahu menambah ruang solat untuk keselesaan jemaah,” katanya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berhubung terus dengan Mohd Aris di talian 013-9287327 atau melalui akaun Bank Rakyat 113891000599 atas nama Ahli Jawatankuasa Surau Al-Hidayah (Surau Kuning).