PUCHONG – Pengguna jalan raya di Batu 7 ½ Jalan Puchong bertindak meletakkan bungkusan sampah daun kering di permukaan jalan berlubang berhampiran Institut Latihan Pengurusan Materiel (INSMAT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini bagimengelakkan bahaya kepada penunggang motosikal.
Setiausaha Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon 14 Dun Kinrara, Lawrence Chiew berkata, laluan jalan dari arah Puchong Jaya ke Jalan Klang Lama itu dikorek pihak terbabit dua bulan lalu.
Setelah siap kerja-kerja di bawah tanah, pihak itu katanya, menurap jalan berkenaan namun tidak sempurna menyebabkan wujudnya dua lubang bersaiz hampir satu meter di laluan itu. 
“Saya tak tahu kenapa pihak itu korek jalan ni…masalahnya lepas dah korek tak turap betul-betul, sekarang dah ada dua lubang dengan jarak tak sampai lima meter.
“Kenderaan lalu di jalan ni terpaksa menghampiri bahu jalan untuk elak lubang. Ada yang dakwa penyerap hentakan kereta rosak dan tayar pancit lepas langgar lubang,” katanya.
Pemangku Ketua Wanita Parti Gerakan Puchong, Joanne Teh berkata, laluan utama itu kini membahayakan pengguna motosikal pada waktu malam.
“Sekarang ada orang letak bungkusan sampah dalam lubang untuk elak kenderaan masuk ke dalamnya.
“Minta pihak berkenaan turap balik jalan ini,” katanya.
Pengerusi JPP Zon 12 Dun Kinrara, Zaulkefli Ahmad meminta pihak berkenaan memantau kontraktor yang membuat kerja-kerja pengorekan di jalan awam.
Katanya, selepas kerja selesai, laluan itu juga perlu dipantau sama ada diturap dengan sempurna atau sebaliknya.
“Ni kita boleh lihat, mereka turap sambil lewa dan sekejap je dah membentuk lubang besar,.
“Harap ada tindakan penyelesaian segera sebelum ada yang tergolek dan cedera,” katanya.