ALOR SETAR - Saman tertunggak yang dimiliki van pelancong Thailand masih tinggi dengan purata kesalahan lampau bagi sebuah kenderaan asing itu antara 21 hingga 24 kes saman.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, dalam Ops Kenderaan Asing yang diadakan awal pagi kelmarin, dua buah van pelancong Thailand disita kerana gagal melangsaikan saman tertunggak bernilai RM14,400 daripada 48 saman.
“Van itu ditahan di Jalan Alor Setar - Kangar bersama penumpang dan kenderaan mereka disita di pejabat JPJ di Jalan Suka Menanti, manakala penumpang dihantar ke Terminal Bas Shahab Perdana di Mergong untuk meneruskan perjalanan,” katanya, pada sidang media, semalam.
Menurutnya, dua van berkenaan yang dipandu lelaki berusia 38 dan 45 tahun itu memiliki 28 saman dan 20 saman tertunggak, bernilai RM8,400 dan RM6,000.
“Mereka gagal melangsaikan saman tertunggak itu menyebabkan kenderaan disita, namun kedua-dua pemandu dibebaskan. Kompaun berkenaan perlu dibayar sepenuhnya sebelum van itu boleh diambil,” katanya.
Ismasuhaimi berkata, dalam operasi sama, turut diperiksa 68 kenderaan asing di mana 31 daripadanya melakukan kesalahan dan memiliki 103 saman tertunggak pelbagai kesalahan, dengan jumlah kompaun sebanyak RM30,970.
“Fokus utama adalah untuk menjejaki kenderaan Thailand yang memiliki saman lampau dan tertunggak dengan JPJ, termasuk melakukan kesalahan lain bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, operasi dijalankan secara statik di pintu masuk sempadan berdekatan Stesen Kawalan Sempadan (SKS) Bukit Kayu Hitam selain rondaan di setiap lorong tikus dan jalan raya utama.
“Kesalahan utama adalah melanggar syarat Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) apabila memasuki kawasan Malaysia melebihi dua kilometer dan mengubahsuai kenderaan, selain membawa penumpang tanpa permit,” katanya.
Ismasuhaimi berkata, kehadiran van ini meningkat ketika musim cuti persekolahan dan cuti umum, dan penghantaran penumpang dikesan sehingga di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.
“Selain membawa pelancong, sebahagian membawa pekerja kedai Tom Yam yang mendapat permintaan tinggi dalam negara,” katanya.
Menurutnya, pihaknya turut mengesan taktik pemandu yang mengenakan caj tambahan kepada penumpang bagi melangsaikan saman, dengan menggunakan nama JPJ.
“Kami kesal kerana saman dikeluarkan kepada pemandu, sebaliknya mereka meminta wang daripada penumpang. JPJ tidak mengenakan syarat seumpama, sebaliknya pemandu mendakwa ia sebahagian caj kemasukan ke negara ini,” katanya.
Bagaimana pun, Ismasuhaimi yakin masalah kebanjiran van pelancong Thailand ini dapat ditangani sebaik sahaja Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) yang baharu siap sepenuhnya menjelang 2018.