JERTIH - Seorang warga emas mendakwa caruman wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah kira-kira RM8,000 lesap walaupun dia tidak pernah keluarkan.
Pesara terbabit, Zakaria Sadina, 78, berkata, dia menyedari perkara terbabit setelah melakukan pemeriksaan potongan caruman di Pejabat KWSP Cawangan Jertih di sini pada jam 10 pagi Khamis lepas.
Menurut bekas kakitangan Pejabat Ukur dan Pemetaan Kelantan itu , sekarang dia dapati baki di dalam akaun KWSP kosong setelah wang miliknya dikeluarkan sebanyak dua kali pada tahun 1990 dan 1993.
“Pada 1990 sebanyak RM2,500 dikeluarkan. Tiga tahun kemudian RM5,500 pula dikeluarkan oleh pihak tertentu.
“Sejak berkhidmat sebagai kakitangan awam selama 20 tahun sehingga pencen pada tahun 1985, saya tidak pernah melakukan sebarang pengeluaran wang KWSP.
“Memandangkan saya menerima pencen bulanan menyebabkan sebelum ini saya tidak mempedulikan sangat tentang caruman itu kerana saya menyangka mungkin tidak ada caruman sehinggalah diberitahu oleh seorang waris saya bahawa saya mempunyai caruman,” katanya yang tinggal di Kampung Padang Bual, Hulu Besut.
Zakaria berkata, sekiranya wang tersebut masih ada dan dicampur dividen untuk tempoh 26 tahun sudah tentu caruman sudah mencecah puluhan ribu.
Sehubungan itu dia meminta pihak KWSP menyemak dan menyiasat perkara tersebut dan dia menuntut pihak terbabit bertanggungjawab di atas kehilangan wangnya.
“Semua pengeluaran tersebut bukan dilakukan oleh saya dan kini saya meminta pihak berkenaan menyemak semula bagaimana pengeluaran wang KWSP boleh dikeluarkan orang lain dan tidak dikenali,” katanya.
Beliau yang ditemani menantunya, Mohd Khairul Mustafa Amin, 43, membuat laporan tentang kejadian tersebut di Balai Polis Pasir Akar semalam.