SUNGAI TIANG - Seorang wanita lumpuh sebelah badan sejak 13 tahun lalu ekoran terjatuh dari tangga bas merayu bantuan rumah memandangkan rumah yang didiaminya sekarang di Kampung Rambai, Pendang kerap dimasuki air.
Bedah Kholid, 72, berkata, dia tinggal bersama anaknya Faridah Samat, 45, yang juga merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak.
"Sejak bercerai dengan suami beberapa tahun lalu, saya hanya tinggal bersama anak perempuan saya dan empat orang cucu yang masih bersekolah," katanya.
Bedah berkata, meskipun mempunyai enam orang anak, kesemua mereka sudah bekeluarga dan mempunyai tanggungjawab sendiri.
"Mereka juga ada tanggungan sendiri dan hanya bekerja kampung. Mereka ada juga bantu saya beli makan tapi nak bantu bina rumah mereka tidak mampu.
"Rumah saya dulu pernah ada eletrik, tetapi rosak selepas terkena ribut. Sekarang ni saya tumpang elektrik yang di tarik dari rumah anak yang berdekatan," katanya.
Menurutnya, kedudukan rumah yang berdekatan dengan kawasan sawah padi juga menjadi faktor kekerapan rumahnya dimasuki air apabila setiap kali berlaku hujan lebat.
"Kalau hujan lebat saja mesti air masuk dalam rumah. Pernah saya tidur di dalam air sebab tak mampu buat apa-apa," katanya sambil menahan sebak.
Sementara itu, Faridah berkata, dia tidak boleh meninggalkan ibunya terlalu lama setiap hari kerana perlu menguruskan keperluan ibunya.
"Saya hanya mampu bekerja sebagai petugas Rela yang gajinya dibayar mengikut jumlah jam bekerja.
"Kalau tinggal mak lama-lama dia perlu mengesot sendiri untuk ke tandas sebab tak mampu berjalan. Kesian pula memikirkan keadaannya yang terlalu uzur," katanya.
Tambah Faridah, ibunya juga sukar dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan kerana tiada kemudahan pengangkutan, selain terpaksa menyewa kereta
.