ARKANSAS - AMERIKA SYARIKAT. Seorang ibu tunggal bersama dengan empat orang anaknya membuatkan ramai orang kagum apabila berjaya membina sebuah rumah berdasarkan tutorial daripada YouTube lapor Boredpanda.
Bermula dengan dua perkahwinan yang gagal diikuti kes diganggu lelaki sakit mental membuatkan Cara Brookins berazam untuk merubah kehidupannya itu.
“Saya malu dan bimbang jika anak-anak saya tidak mempunyai harga diri dan kurang keyakinan berhadapan dengan orang ramai.
“Oleh itu, saya memikirkan bahawa anak-anak dan saya sendiri perlukan sesuatu,” katanya.
Bagaimanapun, malang bagi dirinya apabila beliau tidak mampu untuk memiliki rumah baru namun dia kemudiannya membuat keputusan untuk membina sendiri rumah itu walaupun tidak mempunyai sebarang pengetahuan untuk membuat rumah.
“Apabila terlihat sebuah rumah yang dilanda puting beliung dan hanya tinggal asasnya sahaja membuatkan saya berfikir, jika saya membeli beberapa barangan rumah, bolehkan saya membinanya?
“Anak-anak saya turut menyokong cadangan tersebut dan hasilnya, kami berjaya membina sebuah rumah,” katanya lagi.
Seterusnya, dengan hanya menggunakan pinjaman sebanyak AS$150,000 (RM670,000) untuk membeli bahan-bahan, mereka mula membuat rumah idaman dengan berpandukan tutorial ‘YouTube’ sahaja.
“Sudah lapan tahun kami tinggal di Inkwell Manor dan anak-anak saya kini juga semakin berani dan boleh lakukan apa sahaja,” katanya lagi.