KAMPUNG MIA - “Saya akan guna segala pemberian ini untuk dua anak kami terutama dalam pendidikan. Lagipun semasa hayatnya, arwah suami selalu pesan agar beri didikan dunia akhirat terbaik kepada anak-anak,” kata Anisha Jusoh@Jaafar, 34.
Anisha ialah balu kepada seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mohd Sawal Mohd Yusof, yang meninggal dunia pada 3 Disember lalu dipercayai akibat sesak nafas sewaktu terlibat dalam operasi menyelamat pemancing dikhuatiri hilang di Sungai Lut, Felda Jerangau Barat.
Menurutnya, walaupun tidak dapat mengembalikan teman hidupnya itu, namun dia bersyukur sumbangan tersebut dapat meringankan beban, selain boleh digunakan untuk menjamin masa depan dua anaknya.
“Saya hanya mampu ucap terima kasih kepada semua pihak yang prihatin mengenai saya sekeluarga setelah pemergian suami. Insya-ALLAH, semua ini akan digunakan untuk pendidikan anak-anak.
“Pesanan arwah agar saya didik anak kami (Muhammad  Akif Irfan, 11 dan Muhammad Aqil Isyraf, 6) sebaik mungkin, akan sentiasa disemat dalam ingatan. Saya akan berusaha beri didikan terbaik kepada kedua-dua anak kami,” katanya.
Ibu dua anak yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat itu berkata demikian sewaktu Majlis Penyampaian Cek Faedah Pencen Seumur Hidup dan Cek Pengurusan Mayat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di rumahnya, di sini, semalam.
Penyampaian disempurnakan Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang. Turut hadir, Pengarah Perkeso Terengganu, Nora Yaacob dan Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.
Sementara itu, Nora berkata, Perkeso menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500 dan akan membayar pencen bulanan RM650 sebulan sehingga akhir hayat isteri arwah (Anisha).
“Anak-anak arwah akan dibantu dari segi pendidikan sehinggalah mendapat ijazah pertama. Kita harap faedah diterima keluarga arwah dapat dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depan mereka.
“Penyampaian hari ini (semalam) menunjukkan betapa penting caruman Perkeso. Kita harap masyarakat dapat buka mata mengenai kepentingan membuat caruman,” katanya.
Sinar Harian 4 Disember lalu melaporkan, seorang anggota APM meninggal dunia setelah rebah kira-kira jam 12 tengah hari, sewaktu berjalan keluar menuju ke khemah ketika menyertai operasi mencari orang hilang, Satar Ali, 49.
Susulan itu, anggota bomba telah memberi bantuan awal dan membawa keluar Mohd Sawal menggunakan ATV, sebelum dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu.