YAN - Seorang peniaga berjaya menarik minat pelanggan untuk datang ke warungnya dengan menyediakan pelbagai menu makanan berharga RM1.
Siti Nur Kartini Othman, 34, berkata, warung tersebut mula dibuka pada penghujung 2015.
Menurutnya, walaupun kecil dan terletak di tepi sawah di Kampung Batu 20, namun warung diusahakannya itu sentiasa mendapat perhatian ramai.
“Saya buka warung ini di atas tanah milik bapa saudara. Tak sangka dapat perhatian ramai, sampai ada yang datang dari luar daerah semata-mata untuk menikmati hidangan RM1 ini.
“Meskipun hanya warung biasa, tetapi kedudukan di tepi sawah menjadi tarikan pelanggan untuk datang menjamu selera sambil menikmati suasana menarik,” katanya.
Menurut ibu dua anak itu, kedudukan warung tersebut juga sangat strategik kerana berada di tengah kampung dan laluan alternatif ke pekan.
Katanya, dia minat berniaga sejak muda dan memasang impian untuk berniaga sambil beramal.
“Bagi mencapai impian itu, saya nekad menjual juadah seperti laksa, bihun sup, mi kari, cendol pulut dan ais kacang pada harga RM1.
“Ramai persoalkan, boleh untung ke sebab jual semua RM1? Saya jawab dengan yakin saya akan dapat untung. Alhamdulillah, saya berjaya bertahan sehingga kini,” katanya.
Warung tersebut beroperasi setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 6.30 petang dengan dibantu sepupunya, Fatimah Idris.
Meskipun menjual dengan harga RM1, namun dia tetap mendapat untung, malahan keuntungan itu dua kali ganda daripada modal.
“Saya bersyukur pada ALLAH. Pendapatan yang saya peroleh ini bolehlah bantu suami sedikit," katanya.
Suaminya, Zamri Mat, 37, yang bekerja sebagai pemandu mesin padi, tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung pada hasil padi sahaja.