LAMBAKAN
 pes atau perencah mi bandung Muar yang terdapat di pasaran pada masa kini ada kalanya mengelirukan pembeli dalam mencari rempah yang benar-benar asli dan memenuhi cita rasa.
Bagi penggemar juadah itu, kandungan udang kering yang terdapat dalam pes pastinya dititik beratkan kerana ia penting bagi membangkitkan aroma serta rasa mi bandung Muar yang lazat.
Bagi pengusaha Perencah Mee Bandung Su Homemade dari Muar Johor, Suhaili Mohamed, 41, berkata, bahan-bahan yang digunakan dalam menghasilkan pesnya adalah 100 peratus asli tanpa campuran berbeza.
“Kunci utama untuk menghasilkan mi bandung Muar yang enak adalah udang kering. Jadi Kak Su sangat menekankan penggunaan bahan itu dengan kuantiti banyak sebagai memenuhi cita rasa asli juadah ini.
“Selain udang kering, bahan utama seperti bawang merah, bawang putih dan lada kering juga diambil kira bertujuan mengekalkan kualiti rasanya. Perencah Kak Su langsung tidak menggunakan campuran tambahan atau dipanggil kaedah jimat seperti kacang tanah dan udang geragau. Kesemuanya dihasilkan mengikut bahan tradisional,” katanya kepada Sinar Harian.
Resipi tukang masak istana
Wanita yang merupakan anak jati Muar ini berkata, penyediaan pes juga dihasilkan secara sendirian memandangkan perusahaan yang dijalankannya itu baru mencecah lima bulan.
“Kak Su akui bermula daripada penyediaan bahan kering hingga pembungkusan pes dihasilkan sendiri di rumah memandangkan perniagaan baru sahaja bermula.
“Malah kuali yang Kak Su gunakan untuk menumis perencah sebelum dibungkus juga boleh memuatkan sehingga empat kilogram pes sahaja,” katanya dan memberitahu akan menghasilkan pes sebanyak dua kali bagi mendapatkan lapan kilogram perencah.
Suhaili dalam pada itu berkata, sukatan bahan kering yang tepat juga memainkan peranan penting dalam menghasilkan mi bandung Muar asli yang enak.
Ibu kepada empat cahaya mata ini juga mengakui, resipi mi bandung yang dijualnya kini dipelajari daripada bapa saudaranya yang memiliki kepakaran dalam memasak.
“Tiada teknik rahsia Kak Su gunakan untuk menghasilkan pes. Hanya bahan biasa yang Kak Su pernah pelajari daripada arwah pakcik, Nordin Johari.
“Pakcik Kak Su memang pandai masak dan semua masakannya enak. Tambahan pula, arwah pernah bekerja sebagai pembantu dapur di istana Johor.
“Jadi dia pernah memberitahu kami bahawa segala kaedah masakannya termasuk mi bandung dipelajari daripada tukang masak istana ketika itu, sebelum Kak Su kemudian menawarkan diri untuk belajar memasak daripadanya,” katanya.
Jual pes atas permintaan
Mengimbas kembali penglibatannya dalam perusahaan itu sejak Julai lalu, Suhaili berkata, dia tidak pernah terfikir akan bergiat aktif dan bergelar pengusaha produk.
“Sebelum ini, Kak Su merupakan suri rumah sepenuh masa yang menjalankan perniagaan kedai makan arwah ayah secara kecil-kecilan.
“Kak Su dalam pada itu turut mengambil tempahan katering atau majlis yang memerlukan khidmat makanan. Suatu hari, Kak Su hasilkan juadah mi bandung untuk tempahan dan tanpa disedari, Kak Su hasilkan pes yang banyak menyebabkan kami sekeluarga buntu untuk menyimpan stok berkenaan,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian cuba mempromosi perencah itu ke dalam aplikasi grup WhatsApp.
“Sejak itu, rakan-rakan tanya ada hasilkan pes lagi tak sebab mereka nak beli. Bermula dari situ Kak Su menceburkan diri dalam perniagaan ini sebelum memutuskan untuk memasarkan pes mi bandung secara serius.
“Bermula daripada bungkusan plastik biasa, kini ia lebih kemas dan Kak Su berharap dapat menghasilkan paket bungkusan jenama sendiri. Impian Kak Su pada masa kini mahu melihat produk Perencah Mee Bandung Su Homemade mampu menjadi pendapatan utama untuk kami sekeluarga, Insya-ALLAH,” katanya
.