BARU-baru ini berlangsung pertemuan di antara penyanyi veteran Herman Tino dan pendatang baru Aiman Tino.
Pertemuan yang diatur ayah Aiman Tino itu meninggalkan seribu satu makna buat kedua-dua penyanyi ini. Lebih-lebih ini ayah Aiman merupakan peminat tegar Herman.
Ditanya bagaimana pertemuan itu tercetus, Herman menjelaskan dia ingin berjumpa Aiman setelah mendengar lagu Ku Rela Dibenci di radio.
“Selepas dengar lagu serta kelunakan suara Aiman, terbit rasa rindu di dalam hati Herman untuk berjumpa penyanyi tersebut.
“Setelah menunggu, doa saya dimakbulkan  apabila ayah Aiman hubungi saya dan mengatakan Aiman juga mahu bertemu saya.
“Tanpa berfikir panjang, saya setuju. Ini adalah detik bersejarah kami berdua di mana dua Tino bertemu secara serampang dua mata buat kali pertama,” katanya dengan penuh teruja.
Tidak hanya berkenalan dan mengikuti perkembangan semasa, Herman sempat beri nasihat buat anak muda yang  berusia 19 tahun itu agar sirna popularitinya tidak hanya bermusim.
"Saya tahu dia ada masa depan cerah dan mampu bersaing dengan nama besar di dalam industri.
"Ini kerana, lagu-lagu nyanyiannya boleh diterima segenap peringkat umur sukakannya. Cumanya, saya berharap keluarganya dapat menjaga Aiman sebaik mungkin supaya dia boleh meningkatkan lagi potensi bakatnya.
"Pesanan saya, Aiman perlu sentiasa menjaga hubungan dengan orang tuanya. Jangan sesekali derhaka dengan mereka. Insya-ALLAH dia akan sukses dengan apa sahaja diceburi,” katanya.
Pertemuan yang berlangsung secara sederhana, tetapi meriah itu ibarat seorang bapa dan anak, kedua-duanya saling bercerita pengalaman nyanyian serta pendapat mengenai industri nyanyian pada era mereka.
Jelas penyanyi yang popular dengan lagu Yale Yale ini, pertemuan tersebut menutup pelbagai cerita mengaitkan dia bapa kandung Aiman.
Tambah penyanyi berusia 62 tahun, jauh sekali dalam sudut hatinya yang berniat untuk menumpang populariti Aiman yang kini berada di kemuncak kariernya.
“Ia hanyalah untuk rapatkan silaturahim. Tambahan pula, perjumpaan ini berlangsung dengan izin daripada Yang Maha Esa.
“Kalau ALLAH SWT tidak mengizinkannya, maka perjumpaan ini tidak terjadi,” kata Herman.
Aiman teruja
Meskipun jadualnya agak padat, Aiman sempat mencuri masa bertemu pemilik lagu Dikenang Mengapa Difikir itu.
Selepas dengar luahan Herman di corong radio, dia beritahu ayahnya dan meluahkan hasratnya untuk bertemu dengan penyanyi popular 80-an tersebut.
“Tanpa membuang masa, ayah terus mencari nombor telefon uncle Herman melalui mereka yang berada di dalam industri dan akhirnya ayah berjaya dapatkan nombornya.
“Apabila uncle setuju, hati saya berdebar-debar untuk berjumpa dengan orang lama di dalam industri. Namun Alhamdulillah, berjumpa akhirnya,” kata aiman yang turut jadi finalis untuk Anugerah Juara Lagu ke-31 ini.
Selain mahu bermesra, Aiman turut berterima kasih kepada Herman kerana nama Tino merupakan salah satu faktor dia makin terkenal.
Rancang terbit album
Populariti lagu Ku Rela Di Benci secara tidak langsung melonjakkan nama Aiman Tino. Ujar Aiman, dia kini sudah mempunyai beberapa single baru termasuk ciptaan ayahnya sendiri untuk dirakamkan tidak lama lagi.
"Setakat ini sudah ada empat lagu yang menunggu masa untuk proses rakaman dan kita akan keluarkan lagu ini satu persatu.
"Sekiranya lagu-lagu yang masih mengekalkan corak muzik 90-an ini mendapat sambutan, saya memang ada merancang untuk mengeluarkan album.
"Tapi rasanya masih awal untuk berkongsi mengenai perkara ini," katanya.
Ditanya sambutan peminat terhadapnya sejak memulakan karier tahun lalu, Aiman berkata, dia pernah mencuba untuk test market apabila berjalan sendiri di sebuah pusat membeli-belah di ibu kota ketika awal kemunculannya.
"Saya terkejut apabila ada yang mengenali saya dan tahan saya untuk bergambar. Malah saya sampai di kerumun ketika itu.
"Memang terkejut kerana waktu itu saya baru lagi menyertai industri seni, tapi ada yang sudah mengenali saya," katanya yang terharu dengan sokongan peminat terhadapnya.