MERSING - Perairan Mersing menjadi bualan ramai sejak kebelakangan ini, malah ada yang membandingkannya dengan perairan terkenal seluruh dunia iaitu Maldives.
Apa yang pasti, suasana nyaman dan tenang ditambah dengan keindahan semula jadi di perairan tersebut memikat sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.
Jabatan Taman Laut Malaysia sebagai agensi yang bertanggungjawab memelihara keindahan perairan negara sebagai khazanah alam, nyata menitikberatkan penjagaan dari segala sudut.
Pengarah Jabatan Taman Laut Negeri Johor, Mohd Nizam Ismail berkata, jabatannya bertanggungjawab menjaga kepelbagaian bio di kawasan yang digazetkan sebagai Taman Laut Malaysia meliputi 13 pulau di negeri ini.
“Kami menjaga biodiversiti, termasuk rantaian makanan yang bermula dengan terumbu karang di mana ia menjadi tempat pembiakan ikan. Terumbu karang ini juga penting sebagai penampan kepada hakisan pantai,” katanya.
Ada lebih 50 dugong
Apa yang menarik, kata Mohd Nizam, kepulauan laut Mersing adalah satu-satunya lokasi yang dikesan wujudnya spesies dugong di negeri ini.
“Kawasan kita ada rumput laut yang menjadi makanan kepada haiwan ikonik negeri Johor, dugong. Dugong ini dianggarkan sekitar 50 hingga 60 ekor saja di Johor. Sebab itu kita nak jaga.
“Selain dugong, kepulauan laut Mersing menjadi habitat kepada ekosistem marin lain seperti bakau, terumbu karang dan pantai. Pantai di pulau itu sendiri menjadi lokasi penyu mendarat untuk bertelur. Ada dua spesies iaitu penyu agar dan penyu karah,” katanya.
Biodiversiti taman laut itu bukan sahaja diperlukan bagi mengimbangi ekosistem, ia turut memberi imbuhan secara langsung kepada ekonomi masyarakat Mersing.
Selain memberi kelangsungan sumber perikanan, ekosistem ini juga memberi pulangan bagi sektor pelancongan, di mana nilai-nilai estetikanya menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk datang ke kepulauan Mersing.
“Apabila pelancong masuk ke Mersing sebagai pintu masuk menuju ke pulau-pulau, ia secara tak langsung memberi manfaat kepada perkhidmatan teksi, hotel dan kedai-kedai makan.
“Kita ada permata yang belum digilap,” katanya.
Kualiti air kelas satu
Mohd Nizam berkata, kelangsungan hidupan di taman laut amat bergantungan kepada kualiti air marin, maka pihaknya amat menitikberatkan pemantauan secara berkala berkaitan kualiti dan mutu air marin di stesen pemantauan yang sudah dikenal pasti.
“Aktiviti pengawasan ini membekalkan maklumat penting bukan sahaja status kualiti air marin, tetapi turut membantu dalam pengurusan kawasan rekreasi dan ekosistem marin.
“Hasil dari pemantauan ini, pihak jabatan mendapati kualiti air marin di Taman Laut Johor adalah kelas satu iaitu menepati parameter bagi kriteria taman laut dan kawasan pelindungan marin, dengan pematuhan kepada piawaian serta kriteria kualiti air marin Malaysia,” katanya.
Berdepan ancaman marin
Keindahan biodiversiti marin ini pastinya menerima ancaman meliputi sudut semula jadi seperti kelunturan karang dan pemangsa terumbu karang serta tapak sulaiman mahkota berduri atau Cots (Crown of Thorns).
Namun menurut Mohd Nizam, selain ancaman semula jadi, perairan juga berdepan dengan kerakusan manusia di mana kurangnya kesedaran awam tentang kepentingan pemuliharaan kawasan taman laut.
“Antaranya, kita berdepan pencerobohan pukat tunda, pembangunan tidak terancang serta pembuangan sisa kumbahan. Ini semua akan memberi kesan kepada ekosistem marin.
“Kesedaran awam sangat penting supaya mereka tahu kepentingan memulihara taman laut ini, kerana ia memberi kesan kepada semua hidupan termasuk kita,” katanya.
Tahun lalu, Majlis Daerah Mersing (MDM) mengumumkan untuk melaksanakan dua projek besar bagi mempertingkatkan sektor pelancongan serta ekonomi masyarakat setempat, iaitu projek industri kecil sederhana (SME) Mersing dengan konsep ala JPO dan pembangunan kawasan perniagaan yang baharu di kawasan Tanjung Penyabong.
Pastinya gabungan ekosistem marin yang penuh nilai estetik dengan pembangunan yang dijalankan ini, menjadikan Mersing bakal dibanjiri pelancong dari seluruh pelosok dunia
.