PASIR PUTEH - Pengumpul barangan lama dan antik sanggup merantau jauh dan mengeluarkan perbelanjaan besar untuk memiliki pelbagai barangan demi kepuasan diri.
Anuar Salleh, 39, meminati barangan lama sejak berusia 10 tahun lagi apabila dia dibenarkan bapanya menyimpan barang-barang lama milik keluarga yang masih berada dalam simpanannya sehingga ke hari ini.
Kini, selepas kira-kira 30 tahun, dia memiliki pelbagai barangan tidak ternilai harganya yang disimpan di rumah dan setor yang disewa khusus di Cherang Ruku, dekat sini.
"Saya meminati barang lama ini sejak budak-budak lagi, saya tidak berhasrat untuk menjualnya apatah lagi jika barang itu tidak ada 'pendua', biarlah ia menjadi koleksi peribadi saya," katanya.
Antara barang yang paling disayanginya adalah basikal Raleigh buatan England keluaran tahun 1955 yang bukan sahaja lengkap dengan aksesori asal termasuk pelana diperbuat daripada kulit, malah ia mempunyai bil pembelian yang membuktikan basikal itu dibeli dua tahun selepas dikeluarkan.
"Minat ini membawa saya merantau ke mana sahaja untuk membelinya bagi menambah koleksi di samping barangan milik keluarga dan pemberian rakan yang menyokong minat saya ini.
"Botol air dan bekas makanan tentera Jepun juga menjadi koleksi kesayangan, saya memperolehinya dari rumah usang yang hendak dirobohkan di Terengganu lapan tahun lalu," katanya.
Antara barangan yang dimilikinya adalah gergaji buaya, botol minuman, pengisar makanan, seterika arang, cenderamata, pasu, tempayan, mesin jahit, pemain rekod, lampu, permainan, radio, mesin taip, gelas, poster, projektor wayang pacak, kotak rokok, beca, kerusi kedai gunting dan banyak lagi.