PENYANYI muda yang sedang meningkat naik, Sufian Suhaimi tidak pernah menyangka populariti menerusi lagu Terakhir  melorongkan banyak peluang mengembangkan bakat nyanyiannya.
Mula dikenali ramai, Sufian berpeluang membuat persembahan di Anugerah Juara Lagu yang menjadi  angannya sebelum ini.
“Lebih lima tahun lalu saya mula berjinak-jinak dalam bidang ini dan mencuba pelbagai peluang untuk menempatkan diri di dalam industri.
“Saya sendiri tidak sangka, lagu itu membawa tuah, merealisasikan impian untuk beraksi di pentas berprestij Anugerah Juara Lagu,” luahnya yang juga popular menerusi single keduanya Harus Aku.
Sufian yang kini sedang meneruskan pengajiannya di peringkat Sarjana dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti  Teknologi Mara (UiTM)  bertekad  tidak mensia-siakan peluang yang datang.
“Mungkin ada yang menyangka saya melalui jalan mudah untuk berada di tempat sekarang, namun hakikatnya ramai yang tidak tahu saya menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.  “Jadi apabila ruang kini semakin terbuka semestinya saya mahu memberikan yang terbaik.
 Melalui sokongan peminat, saya sangat berharap dapat tampil dengan karya yang mampu menyumbang kepada industri,” katanya yang sebelum ini aktif bersama band Demahameru.
Tidak hanya sebagai penyanyi, Sufian juga mahu lebih serius mencipta lagu.
Sebagai orang baru, Sufian juga lokek untuk berkongsi hasil karyanya dengan artis yang sudi bekerjasama.
“Dalam koleksi saya sudah ada beberapa lagu ciptaan sendiri yang bakal diperdengarkan sebagai single baru kepada peminat tidak lama lagi," katanya.
Katanya, ada lagu yang sudah diberikan kepada penyanyi lain kerana sesuai berbanding diri sendiri.
"Lagu Segalanya nyanyian Haqiem Rusli diberi kerana tidak sesuai untuk saya bawakan sebaliknya begitu menjadi dengan orang lain.
“Jadi, saya tidak hanya mencipta lagu untuk diri sendiri, sebaliknya lebih terbuka dan memberi peluang kepada mereka yang berminat untuk menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya,” ujarnya yang bakal tampil dengan mini album tidak lama lagi.