KUALA ROMPIN – Seorang penduduk Taman Rompin Permai, di sini, terkejut selepas menyedari sebatang pokok pisang di kebun yang diusahakannya mengeluarkan tandan dan jantung di bahagian batangnya.
Amiruddin Mohamad Nor, 44, berkata, kebun itu diusahakannya kira-kira lima tahun lalu atas dasar minat bercucuk tanam dan tidak mahu tanah berhampiran rumahnya kosong dan terbiar.
Menurutnya, selain pisang, dia turut menanam beberapa tumbuhan lain seperti betik, lada, ubi kayu serta mangga dan kejadian aneh itu merupakan kali pertama dialaminya sepanjang mengusahakan kebun itu.
“Saya mula sedari kejadian itu semalam (kelmarin) ketika ke kebun untuk lihat pokok dan buat apa-apa kerja yang patut. Tengah duduk-duduk, ternampak sebatang pisang yang mengeluarkan tandan dan jantung pada batang... terkejut saya masa itu.
“Pada saya ia memang pelik sebab biasanya tandan keluar ikut celah pelepah daun di hujung pokok pisang, tapi pokok ini berbeza. Sebelum ini tak pernah saya lihat kejadian macam ini. Jadi saya biarkan dan nak tengok akan akan jadi selepas ini,” katanya  kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, baka pokok pisang itu diambil dari rumah bapanya di Kampung Simpang Sepayang, iaitu daripada pokok-pokok yang sebelum ini biasa mengeluarkan buah pisang kembar.
Katanya, buah pisang kembar dua mungkin biasa ditemui tetapi paling banyak pernah ditemuinya adalah buah pisang kembar empat yang bukan hanya melekat pada kulit tetapi isinya turut melekat.
“Setakat ini saya cuma cerita kepada orang tertentu dan belum rujuk kepada mana-mana pihak berkaitan. Saya yakin ia akan keluarkan buah. Jadi biar ia masak agar boleh dirasai isinya dan selepas itu bolehlah diberikan kepada sesiapa yang mahu,”  katanya.