MACHANG - Setelah menamatkan pengajiannya di Yaman, Shamsul Zaman Sukri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Budak mengambil keputusan untuk membina Pondok Syukriah di kampung kelahirannya di Kampung Awah di sini.
Pondok pengajian yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta tersebut dibina sejak lebih setahun lalu dan kini dibuka untuk pendaftaran pelajar.
Shamsul Zaman berkata, pondok yang menawarkan tempat kepada kira-kira 200 pelajar tersebut bertujuan menyebarkan ilmu agama khususnya kepada anak-anak muda.
Katanya, pendaftaran dibuka sepanjang Januari ini dan seramai 40 pelajar mendaftar sejak 1 Januari lalu.
Tambahnya, pendaftaran dibuka kepada remaja lelaki berusia 12 tahun ke atas yang mana kelas pengajian tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh beliau.
“Pengajian pondok ini berdasarkan kita-kitab asas dan pelajar yang berminat dialu-alukan menyertai kami. Kelas pengajian akan bermula pada Februari.
“Pelajar yang mendaftar datang dari seluruh negara dan peluang tersebut masih dibuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk sama-sama mendalami ilmu agama,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Shamsul Zaman berkata, pondok tersebut dibina hasil sumbangan orang ramai sepenuhnya dalam usaha menyebarkan syiar Islam dan membina generasi muda yang soleh.
Katanya, orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pondok tersebut boleh menghubunginya di talian 012-6204795  atau datang terus ke Pondok Syukriah bagi melihat sendiri suasana pondok itu.
Dalam masa yang sama, Shamsul Zaman berkata, pihaknya masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai memandangkan masjid tersebut masih belum siap sepenuhnya.