KELIBAT figura ini dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi kerana pelakon dan penyanyi berusia 33 tahun ini sudah dikenali.
Namun sejak berkahwin pada 2015 dan seterusnya bergelar ibu pada 21 Julai tahun lalu, agak sukar melihat kelibat Yana Samsudin di pentas seni.
Selepas lima bulan bergelar ibu kepada Aisy Mateen, pelakon filem Adnan Sempit menerusi watak Wawa mula kembali aktif.
Yana juga muncul pada majlis pengumumannya sebagai duta produk Dr. Norman Professional Skincare dan pelancaran produk tersebut First Avenue, Bandar Utama, Petaling Jaya.
Menurut Yana, walaupun kembali aktif namun keluarga tetap utama seperti artis lain yang sudah berkeluarga.
Tidak dinafikan, katanya, dia sudah mula membawa Mateen pada program tertentu kerana mahu mendedahkan kerjayanya walaupun belum bersedia menerima tawaran untuk tempoh lama.
"Saya bimbang menyusahkan pihak produksi di kemudian hari dan selesa menerima tawaran telemovie.
"Bagaimanapun, pihak pengurusan saya sedang berbincang mengenai tawaran filem dan drama tapi itu terlalu awal untuk dikongsi," katanya ketika ditemui kelmarin.
Berkongsi mengenai pemilihannya sebagai duta produk Dr. Norman Professional Skincare, Yana berkata, pada awalnya dia ragu-ragu menggunakan produk berbentuk serum itu.
Selepas diperkenalkan seorang rakan melalui suaminya, Yana terus mencuba tetapi hanya dua kali sahaja kerana masih tidak percaya sepenuhnya.
"Ketika awal kehamilan, kulit muka naik bintik-bintik halus . Jadi bila mereka beritahu produk ini tiada bahan kimia berbahaya, saya terus cuba.
"Alhamdulillah selepas dua bulan, kulit saya kembali elok dan lebih halus. Sebelum ini saya memang ada masalah dengan beberapa produk kecantikan," katanya yang akan menjadi duta produk selama dua tahun.
Malah, katanya lagi ketika Mateen mengalami ruam, produk berkenaan selamat dan ternyata memang berkesan.