MENGINJAK usia 30 tahun, Erneelya Elyana Emrizal atau nama komersialnya, Elyana memberitahu, misinya pada tahun ini untuk muncul dengan sebuah album penuh.
Elyana yang popular dengan variasi lagu Sandiwara, Tak Tercapai Akalmu dan Kalis Rindu kali terakhir muncul dengan album solo pada 2007 menerusi album Jadi Diriku.
“Sejujurnya saya tak adalah rasa rindu nak menyanyi sangat sebab fokus dan komitmen utama sekarang pada keluarga, sementelah anak saya, Cinta Sumayyah kini sudah pun berusia 6 tahun.
“Jadi saya perlu lebih peka terhadapnya dan kalau boleh saya mahu tengok anak membesar depan mata.
“Namun pada suatu hari, ketika anak sedang menonton salah satu klip video saya di laman YouTube, tiba-tiba saya ada terbaca komen netizen yang bertanya di mana Elyana dan mereka inginkan agar saya kembali memeriahkan dunia seni. Dari situlah, hati ini tiba-tiba terdetik untuk kembali.
“Peminat tercari-cari di mana Elyana dan saya pula macam tidak berbuat apa-apa. Rasa macam pentingkan diri sendiri pula. Jadi saya terus hubungi syarikat rakaman, FMC dengan menyatakan hasrat mahu melangsaikan kontrak album tertangguh.
“Mereka menerima dengan tangan terbuka dan saya kira ini satu permulaan yang baik untuk saya kembali mewarnai dunia seni suara tanah air. Harapnya perancangan ini akan dapat direalisasikan,” katanya yang kini masih lagi menerima undangan persembahan andai punya waktu terluang.
Ditanya sama ada suaminya meletakkan sebarang syarat jika benar-benar mahu kembali aktif, penyanyi dari Shah Alam ini  menyifatkan dirinya bertuah kerana suami, Khairul Anuar Husin amat memahami dan menjadi penyokong setianya.
“Suami tidak beri apa-apa syarat pun, tetapi sayalah yang perlu tahu batas. Saya juga jenis yang menghargai momen dan ketika ini, fasa bersama keluarga adalah satu pengalaman terindah. Meski pun akan kembali ke dunia seni selepas ini, keutamaan masih lagi terhadap mereka. Kerjaya jatuh nombor dua.
“Had dan status saya juga perlu dijaga. Perlahan-lahan saya akan cuba untuk membahagikan waktu,” jelasnya.
Tambah Elyana, anaknya juga cenderung meminati dunia seni.
“Pada usianya sekarang, dia sudah bijak dan sedia mengenali saya sebagai penyanyi bila mana acap kali dia menonton dan mendengar lagu-lagu saya di YouTube contohnya.
"Malah hampir semua dihafalnya. Dari situ, saya macam boleh nampak akan minatnya itu.
“Harapnya, jika selepas ini saya muncul dengan naskhah terbaru, peminat dapat terus memberikan sokongan.
"Comeback ini bukan untuk diri saya semata-mata, tetapi juga buat semua pencinta muzik tanah air,” akhiri Elyana yang turut terlibat dalam siri jelajah Lawak Karoks Tour baru-baru ini.