PONTIAN - Orang ramai yang berada  di tepi laut Pusat Perdagangan Pontian atau Tambak  di sini, dikejutkan dengan kehadiran seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di benteng batu berdekatan  kira-kira jam 6.30 petang tadi.
Jamil Sulong, 53, berkata, dia ternampak seekor ikan yang agak ganjil di kawasan benteng batu ketika sedang berjalan-jalan seorang diri di situ.
Katanya, dia tidak sangka rutin hariannya beriadah di kawasan tepi laut membawa tuah apabila  berpeluang melihat sendiri ikan paus.
“Pada mulanya saya agak takut untuk mendekatinya kerana saiznya agak besar tidak seperti ikan-ikan yang biasa dilihat.
“Saya bersama dua lagi orang awam yang berada di situ mendekati ikan ganjil itu. Kami amat terkejut apabila ikan berkenaan adalah ikan lumba-lumba ,”katanya.
Jelasnya, dia percaya ikan lumba-lumba tersebut masih baru terdampar memandangkan tiada bau hamis ikan dan kepala ikan masih lagi berdarah.
“Tahun lepas, saya  tidak sempat tengok ikan paus yang ditemui nelayan di kawasan jeti Rambah pada hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina, tahun lepas.
“Kali ini, saya diberikan peluang melihat ikan lumba-lumba dengan lebih dekat. Malah saya berpeluang memegang ikan lumba-lumba itu yang panjangnya sebesar depa saya,” katanya.
Katanya, tidak mengetahui ke mana ikan lumba-lumba tersebut akan dibawa namun orang ramai sudah mengangkatnya ke kawasan jeti.

“Ramai yang berkumpul di sini untuk melihat ikan lumba-lumbai tu. Rata-ratanya terkejut dan tidak menyangka ada ikan lumba-lumba akan terdampar di Pontian.
“Ini kerana ikan lumba-lumba hidup di kawasan laut yang sejuk dan jarang dilihat berada di kawasan perairan di sini,” katanya.
Bagi  Alip Aziz, 26 dia amat teruja untuk melihat ikan lumba-lumba berkenaan dengan lebih dekat kerana ia jarang ditemui.
“Saya lihat orang  ramai berkumpul di kawasan ikan lumba-lumba yang ditemui di Tambak. Saya pun cuba mendekatinya dan melihat ada seekor ikan lumba-lumba.
“Sudah dua kali ikan lumba-lumba ditemui  di Pontian. Pada tahun lepas dan tahun ini. Lebih menarik lagi ikan lumba-lumba ditemui ketika sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, ”katanya.