REMBAU - Angin kencang menyebabkan persiapan majlis perkahwinan satu pasangan pengantin di Kampung Senama Ulu, di sini, pagi semalam terjejas apabila 14 khemah termasuk satu khemah pengantin roboh, malah ada antaranya diterbangkan ribut.
Kejadian berlaku kira-kira 8.40 pagi, beberapa jam sebelum majlis persandingan Nazathul Amira, 24, dan Mohd Mustafa Nordin, 30, menyebabkan keluarga pengantin perempuan terpaksa segera memindahkan lokasi majlis ke Dewan Majlis Daerah Rembau (MDR) berhampiran.
Bapa pengantin perempuan, Mazlan Mohd Isa, 51, berkata, sejak malam kelmarin, dia sudah risau mendapati angin kuat di kawasan rumahnya itu.
Malah, katanya, beberapa khemah juga dikesan beralih beberapa meter dari kedudukan asal akibat angin kencang pada jam 1 pagi
“Bagaimanapun, kami sekeluarga termasuk adik-beradik dan anak buah bergotong-royong membetulkan semula khemah itu. Kami kukuhkan semula tapak tiang khemah yang sudah terbuka dan berharap agar angin kencang akan berakhir.
“Tapi pagi ini (semalam) semasa saudara-mara datang bergotong-royong membuat persiapan, tiba-tiba sahaja angin kencang datang dan menerbangkan khemah termasuk khemah pelamin pengantin,” katanya.
Menurutnya, dia hampir menitiskan air mata memandangkan sudah teruja meraikan menantu sulung.
Lebih-lebih lagi, katanya, dia terpaksa melalui dugaan tanpa kehadiran isteri yang baru meninggal dunia tahun lalu .
“Mujur ada adik-beradik, saudara mara yang sanggup membantu saya termasuk segera menukar lokasi majlis kenduri kahwin," katanya ketika ditemui di Dewan MDR, di sini, semalam.
Mazlan bagaimanapun bersyukur kerana dapat memindahkan segala barang keperluan dalam masa singkat dengan bantuan ramai.
"Dengan bantuan tukang pelamin, pelamin yang berada di dalam rumah dan beberapa barangan yang dapat diselamatkan juga dapat dipindahkan ke dewan ini," katanya.
Dia bagaimanapun menyifatkan kejadian sebagai ujian daripada ALLAH dan reda dengan apa berlaku.