PANGKOR - Sebuah kubur lama yang dipercayai milik seorang pahlawan dahulu kala yang turut menentang kedatangan Belanda di Pulau Pangkor terbiar tanpa penjagaan sempurna di Kampung Teluk Gedung di sini.
Kubur berkenaan hanya terletak lebih kurang 100 meter dari Kota Belanda turut menempatkan lima lagi kubur yang tidak diketahui pemiliknya.
Ketua Kampung Teluk Gedung, Norazamai Abu Bakar, 49, berkata, berdasarkan cerita orang lama-lama, kubur berkenaan milik seorang pahlawan yang dikenali sebagai Panglima Kulup Ali.
“Panglima Kulup Ali dikatakan seorang pendekar yang turut menentang kedatangan Belanda ke pulau ini satu ketika dahulu.
“Dia juga dikatakan pemimpin masyarakat di kawasan berkenaan dan mempunyai pengaruh kuat,” katanya.
Menurutnya, seharusnya kubur seorang pahlawan perlu dijaga rapi sebagai mengenang jasa dan memberi pengetahuan kepada generasi kini.
“Memang sudah ada perancangan untuk membaik pulih kubur berkenaan kerana ia mempunyai nilai sejarah tinggi.
“Perkara ini masih lagi dalam proses dan kita harap ia boleh dipercepatkan memandangkan keadaan sekarang tidak berpagar,” katanya.
Seorang penduduk, Mohd Arshad Yusop, 41, berkata, dia kesal apabila kubur pejuang bangsa itu dibiarkan sepi kerana sejarah Kota Belanda saling berkait rapat dengan perjuangan Panglima Kulup Ali.
“Agak sayang jika kubur seorang pahlawan seperti ini dibiarkan begitu sahaja tanpa ada penjagaan.
“Kisah Panglima Kulup Ali juga adalah kisah sejarah yang tidak harus dilupakan kerana ia melibatkan perjuangan menjaga kedaulatan tanah air.
“Kisah perjuangannya boleh dijadikan tauladan kepada generasi sekarang supaya menjaga negara,” katanya.
Mohd Arshad berkata, selain kubur Panglima Kulup Ali ada lima lagi kubur di kawasan sama.
“Sebelah kubur Panglima Kulup Ali ada satu kubur manakala empat lagi berada berhampiran dan tidak diketahui milik siapa.
“Kesemua kubur ini harus dijaga dengan baik dan mungkin kisah sejarah Panglima Kulup Ali perlu dicatatkan di kubur ini supaya nilai sejarah lebih diketahui umum,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Manjung Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, pihaknya dalam perancangan untuk menaik taraf kawasan kubur itu dan fasa awal sudah dibuat.
"Namun kini kami sedang tunggu waris semua kubur berkenaan untuk membincangkan perkara seterusnya," katanya.