PEKAN – Pelbagai jenis kerja boleh dilakukan bagi menjemput rezeki pada musim banjir, itu termasuk mengambil upah menyiang ikan sungai daripada pemilik sangkar ikan di Kampung Ghanchong, di sini.
Sharifah Salleh, 38, berkata, dia berpeluang menambah pendapatan apabila mampu menyiang sehingga 400 kilogram (kg) ikan sungai sehari dengan upah  50 sen bagi setiap kilogram.
“Biasanya hari biasa saya dan dua lagi kawan boleh siang dalam 600 kg ikan seminggu. Musim banjir ni dapatlah duit lebih kira-kira RM200 sehari kerana biasanya hampir setiap hari ada saja pemilik sangkar upah kami menyiang ikan.
“Ikan-ikan sungai di sini antaranya baung, kerai, patin dan banyak lagi. Walaupun nampak mudah, siang ikan ni kena hati-hati. Bila ikan terlalu banyak dan masih hidup lagi, tangan boleh tercedera,” katanya kepada Sinar Harian ketika tinjauan di  lokasi  terjejas banjir di sepanjang Tanjung Medang, Kampung Achen sehingga ke Padang Rumbia, di sini, kelmarin.
Menurutnya, pekerjaan dilakukan itu  bergantung kepada pengusaha sangkar ikan yang memerlukan khidmat mereka namun dia bersyukur rezeki tidak putus.
“Dah lebih lima tahun saya ambil upah siang ikan, tapi kalau musim banjir memang pendapatan lebih lumayan.
“Pelanggan juga lebih suka beli ikan-ikan sungai yang dah siap disiang,” katanya.
Sementara itu, bagi pemilik sangkar ikan sungai, Sharifah Khailah Syed Zin, 61, dia  mengusahakan sangkar ikan sungai bersama suaminya, Hashim Mohamad, 65.
Menurutnya, dia sedia berkongsi rezeki dengan memberi upah kepada orang lain untuk menyiang ikan sebelum dijual kepada pelanggan.
“Dah lama saya guna khidmat mereka dan memang puas hati dengan cara mereka. Kalau harap nak buat sendiri, kami dah tua dan tak berapa larat, jadi kita beri sahaja mereka upah.
“Masa musim banjir, jumlah ikan yang mereka perlu siang berlipat kali ganda berbanding hari biasa. Permintaan ikan sungai lebih banyak.
“Tambahan pula setiap kali banjir besar, sangkar ikan di sungai belakang rumah memang terjejas, ada ikan yang terlepas dan mati. Jadi merekalah yang bantu saya menyiang ikan-ikan sungai tersebut sebelum dijual,” katanya.