TERLIBAT dalam beberapa projek lakonan di bawah syarikat produksi Zeel Production Sdn Bhd, Ruhainies bagaimanapun enggan dilabel sebagai anak emas.
Ini kerana, pelakon berusia 25 tahun ini mengakui selesa bekerjasama di bawah mana-mana syarikat produksi.
"Sebenarnya, saya selesa bekerja dengan semua syarikat produksi.
"Sebab itu, saya tak kisah kalau repeat production. Lagipun, saya happy melakukannya.
"Semua orang di set pun tahu dengan perangai gila-gila saya dan saya pun tak pernah ada masalah dengan sesiapa,” katanya.
Tidak hanya itu, pemilik nama penuh, Nur Ruhainies Ferehah Zainul Ilyas ini juga selesa berkawan dengan semua artis yang pernah bergandingan dengannya.
Ekoran itu, pelakon yang popular menerusi drama Hello Mr Perfect ini pernah digosipkan bercinta dengan Azrel Ismail dan terbaru dikaitkan bersama pendatang baru, Asyraf Aley.
"Saya ini jenis yang suka berkawan. Biasanya, saya rapat sebab mahu mencari chemistry dalam sesebuah lakonan.
"Bukan saja mahu mencari chemistry tapi sebenarnya kami dah pun berjumpa sebelum itu jadi bila bekerjasama, itu yang kami jadi rapat.
"Biasanya, peminat selalu terbawa-bawa hasil lakonan kami dalam drama. Jadi, apabila peminat selalu komen, spekulasi pun timbul mengatakan kami sedang bercinta, padahal kami berkawan saja.
"Terus terang, saya masih single sejak masuk industri hiburan lagi," katanya.
Dalam perkembangan lain, kini Ruhainies sedang mengerjakan ibadah umrah bersama ibu bapanya dan kakaknya yang juga pelakon, Risteena Munim sejak 27 Januari lalu.
"Alhamdulillah, akhirnya niat saya nak bawa mereka ke sana tercapai," katanya.