DUNGUN - Selepas kelibat pak belang dan Tapir di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II (LPT2) lebih kurang sebulan lalu, seorang pengguna melalui pengalaman yang sama apabila  terserempak dengan seekor tapir dewasa yang sedang melompat penghadang jalan di susur keluar Kuala Dungun, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.00 malam, Mohd Zawawi Lokman, 31 yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Dungun terpaksa memberhentikan kenderaan bagi mengawal lalu-lintas dan memastikan binatang liar itu selamat melepasi pagar.
Zawawi berkata, pengalaman terserempak dengan haiwan liar di LPT2 bukan kali pertama kerana sebelum ini dia pernah terserempak dengan tapir tetapi kali ini dia agak terkejut kerana saiz tapir berkenaan agak besar.
Menurutnya, walaupun agak cemas dan takut melihat Tapir yang saiznya sebesar kerbau dewasa tetapi dia tetap mengambil risiko untuk membantu haiwan itu selamat melepasi besi penghadang jalan.
"Ketika saya melalui susur keluar Kuala Dungun, saya ternampak seekor tapir melompat-lompat cuba melepasi besi penghadang jalan.
"Penghadang itu agak tinggi menyebabkan tapir yang bersaiz besar itu agak sukar melepasinya.
"Saya tidak meneruskan perjalanan sebaliknya menunggu di situ dan bertindak menjaga lalu-lintas kerana bimbang sekiranya ada kenderaan tidak menyedari kehadiran haiwan itu.
"Tidak lama selepas itu, datang sebuah bas ekspress dan menggunakan isyarat lampu saya menyuruhnya berjaga-jaga supaya dia sedar ada tapir di situ.
"Pemandu bas turut berhenti dan kami sama-sama mengawal lalu-lintas serta penumpang bas juga tidak ketinggalan mahu merakam aksi haiwan itu.
"Lebih kurang 20 minit berada di situ, Tapir itu akhirnya berjaya melepasi penghadang jalan,"katanya.