TUJUH tahun lalu, dia hanya gadis biasa yang cuba mempertaruhkan bakat melalui program Akademi Fantasia musim kesembilan.
Biarpun langkahnya terhenti lebih awal, namun semangatnya tidak berakhir di situ.
Pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini tekad meneruskan karier seni termasuk memberanikan diri menyertai bidang lakonan.
Hari ini, segala penat lelah, onak ranjau yang ditempuhi sungguh berbaloi.
Tidak hanya dikenali di sini, nama Ayda Jebat juga sudah mula mencuri perhatian di negara seberang.
Buktinya, lagu Pencuri Hati versi dangdut yang dilancarkan di Indonesia bulan lepas, sudah menduduki carta di empat stesen radio negara itu.
Menurut artis berusia 24 tahun ini, setiap kali lagunya dimainkan di stesen radio, dia akan mendapat makluman menerusi laman sosial.
"Style stesen radio di sana, setiap kali memainkan lagu, mereka akan tweet termasuk tag nama penyanyi.
"Jadi dari situ saya dapat tahu dan agak terkejut dalam sehari beberapa kali lagu saya dimainkan.
"Malah ada juga yang memaklumkan kepada saya, pertama kali ada lagu dari luar yang memasuki carta radio tempatan dan mereka sendiri terkejut.
"Bukan itu saja, peminat di sana turut memberi respons positif terhadap lagu berkenaan menerusi laman sosial," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama digital lakonannya, 3 Gadis Manis, baru-baru ini.
Ayda juga akui terkejut dan terharu apabila kelab peminat di sana sudah ditubuhkan dan kini aktif menyokong karier seninya.
"Alhamdulillah, sejujurnya saya tidak sangka akan ada kelab peminat di sana.
"Bulan lepas saya bersama pihak pengurusan menjalankan promosi di Jakarta dan Bandung. Insya-ALLAH atas sambutan menggalakkan ini kita akan kembali membuat promosi di sana seperti Jogyakarta dan Surabaya,” ujarnya.
Muzik video Pencuri Hati versi dangdut yang dimuat naik 1 Disember lalu mencecah hampir 4 juta tontonan di YouTube.
Jadual padat
Bercerita mengenai drama mini 3 Gadis Manis, Ayda memberitahu, penggambarannya hanya tiga hari sahaja.
Katanya, dia menerima tawaran itu sebagai tanda sokongan kepada pihak produksi tersebut yang pertama kali menerbitkan drama menerusi platform digital.
“Saya menyokong pihak Astro dan produksinya kerana ini drama digital terbitan pertama mereka. Lagipun, ia lebih santai, sesuai ditonton untuk pengguna yang gemar menonton menerusi internet,” ujarnya.
Drama enam episod lakonan Mira Filza, Cristina Suzanne, Dottie dan Alvin Chong ini boleh ditonton menerusi http://ift.tt/2myC8r8 bermula 8 Mac 2017.
Selain itu, ujar Ayda, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama berjudul Ku Kirim Cinta untuk slot Akasia TV3 selain berdebar menanti tayangan filem pertama lakonannya Pinjamkan Hatiku yang dijangka menemui penonton tahun hadapan.
Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara karier dan peribadi, Ayda mengakui sudah lama tidak mempunyai masa terluang yang panjang.
"Saya ada bercuti sekejap dan berpeluang balik ke Melaka baru-baru ini, kemudian memang kerja sahaja setakat ini," katanya yang tidak lekang dengan senyuman.