KUANTAN - Persekitaran kawasan Tasik Chini yang semakin terjejas akibat pelbagai kegiatan tidak terkawal di sekelilingnya, menimbulkan kebimbangan.
Berikutan kegiatan pembalakan, perlombongan dan perladangan di situ hampir memusnahkan persekitarannya hingga tasik semula jadi itu tercemar.
Saiznya mula mengecil serta menunggu masa menjadi kering jika pemendapan di dasar tasik terus berlaku.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, kebimbangan beliau itu merujuk kepada laporan akhbar tempatan berdasarkan kenyataan Ketua Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Prof Datuk Seri Dr Mushrifah Idris.
Menurutnya, dalam kenyataan itu, Dr Mushrifah mengesahkan kegiatan penerokaan menyebabkan air tasik menjadi keruh serta memberi kesan kepada hidupan lain, terutama tumbuhan teratai yang sering dikaitkan dengan tasik berkenaan.
Katanya, masalah Tasik Chini sudah berlarutan selama hampir 10 tahun, keadaannya bertambah teruk dan kini diibaratkan seperti tasik yang mati.
“Berdasarkan maklumat yang saya peroleh daripada Orang Asli di sana, ikan-ikan sudah tak boleh dimakan.
“Pencemaran agak kronik tetapi setakat ini kerajaan negeri tidak prihatin dan tidak ambil peduli berkenaan Tasik Chini, justeru saya minta Kerajaan Pusat yang nampaknya menunjukkan sedikit kekhuatiran berbuat sesuatu agar pemulihan dapat dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini mendakwa tiada lesen pembalakan dikeluarkan di kawasan itu.
“Saya mendapati ada bukti bergambar yang menunjukkan sebaliknya. Jika dakwaan Junaidi itu benar, hal ini bermakna pembalakan tersebut dilakukan secara haram.
“Semua ini berbalik kepada penguatkuasaan seperti mana dalam kes bauksit, isu penggondolan Cameron Highlands dan pencerobohan hutan simpan kekal di Pahang yang jelas kerajaan negeri lepas tangan dan membiarkannya terus berlaku.
“Saya merayu Kerajaan Persekutuan membantu kami warga Pahang memulihkan segera Tasik Chini bagi menjamin biodiversiti di dalam dan sekitarnya tidak terancam,” katanya.
Beliau juga memohon kementerian dan kerajaan negeri melakukan pemantauan berterusan kerana penerokaan hutan tidak terkawal khususnya di kawasan bukit akan memberikan impak yang tinggi kepada hakisan tanah.