Friday, 10 March 2017

GST: "SAYA DAH BEBAS" - DATO' SERI VIDA



Semalam, jutawan kosmetik, Dato' Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato' Seri Vida itu telah dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM4.2 juta bagi tempoh April 2015 hingga Julai 2016.

Pemilik syarikat Vida Beauty­ Sdn. Bhd., itu menjelaskan bayaran tersebut menerusi draf bank atas nama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum kes perbicaraan bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST didengar di mahkamah.

Hakim Murtazadi Amran kemudian membenarkan pihak kastam menarik balik kesemua 16 pertuduhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran mengesahkan jutawan itu telah menjelaskan semua cukai GST.



Terdahulu, Syed Ahmad Syed Abas yang mewakili Vida memohon pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan kerana anak guamnya telah membuat pembayaran penuh bagi jumlah yang dituntut iaitu RM4,246,029.10.

Hakim turut mengarahkan pasport antarabangsa Vida yang diserahkan kepada mahkamah sebelum ini diberikan semula kepada tertuduh.

Oktober lalu, Vida didakwa melakukan kesemua 16 kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, di sini sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Bagi pertuduhan itu, Vida didakwa mengikut Seksyen 41(7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.



Murtazadi dalam penghakimannya berkata beliau amat berminat untuk mendengar perbicaraan kes itu kerana ia merupakan sebuah kes yang menarik dan mendapat perhatian ramai.

Setelah selesai prosiding, Vida yang terkenal dengan perwatakan ceria, bersyukur kerana dibebaskan daripada kesemua pertuduhan.

"Ini adalah satu ujian, ini adalah satu rahmat untuk saya pergi lebih tinggi. Saya bersyukur, saya dah bebas," katanya yang turut menyanyikan lagu 'Makhluk Tuhan Paling Seksi' yang dipopularkan penyanyi Indonesia Mulan Jameela sambil menyatakan perasaan tidak sabar untuk melancong ke luar negara.

Pada Disember lalu, Vida mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST dan didenda sebanyak RM80,000.




Sumber: Kosmo & BERNAMA
Foto: Kosmo & Dato' Seri Vida IG



         ________________________







via My Artis

No comments:

Post a Comment