TELUK INTAN - Siapa sangka botol plastik yang sering dibuang selepas digunakan sebenarnya mampu dijadikan sebagai benteng bagi mengelakkan hakisan tebing.
Lebih mengejutkan botol yang diisi dengan pasir bagi memenuhi isi padunya itu juga mampu menjadi benteng yang kuat selepas tebing ditambak.
Keberkesanan itu dibuktikan sendiri oleh lima kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak melalui pasukan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) atau lebih dikenali sebagai ‘Fast-T’.
Diketuai oleh Mohd Hafiz Hasan, Fast-T turut terdiri daripada empat ahli lain iaitu Mohd Amin Si Rajab, T Alex, Hamdan Abdul Rani dan Lokman Zubir.
Menurut Mohd Hafiz, idea untuk membina pelindung tebing menggunakan bahan terpakai iaitu botol minyak masak bagi membaiki tebing terhakis diutarakan sendiri oleh Pengarah JPS Perak, Juhaimi Jusoh kepada mereka.
“Tuan pengarah ada berkongsi idea dengan bertanya kepada kami kenapa tidak menggunakan bahan terbuang untuk membina benteng bagi mengatasi masalah hakisan di sungai serta kawasan sawah.
“Ekoran itu, pada Jun 2016 kami semua memulakan langkah awal dengan melakukan eksperimen bagi mengenal pasti bahan yang boleh digunakan,” katanya.
Tambahnya, projek KIK JPS Hilir Perak juga merupakan salah satu pembangunan inovasi yang dilakukan oleh jabatan berkenaan bagi mencari penyelesaian setiap masalah dalam pekerjaan mereka
.