TANAH MERAH - Ibu kepada kanak-kanak berusia setahun satu bulan yang menghidap leukemia merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anaknya yang dianggarkan lebih RM10,000.
Noorhasnie Zulkapli, 22, berkata, anaknya, Siti Nur Jannah Hassan perlu segera menjalani pembedahan 'chemo port' bagi merawat penyakitnya itu di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Menurutnya, pembedahan itu sepatutnya dibuat secepat mungkin, namun terpaksa ditangguhkan kerana anak bongsu daripada dua beradik itu diserang demam, batuk dan selesema.
"Sepatutnya hari ini (semalam), kami sudah boleh keluar hospital selepas mula masuk sejak 2 Februari lalu dan perlu datang esok untuk pembedahan, tapi kena tangguh dulu sebab dia demam dan suhu badannya tinggi sangat," katanya, semalam.
Kisah Siti Nur Jannah yang disahkan menghidap kanser darah selepas mengalami simpton penyakit itu sejak berusia tujuh bulan disiarkan akhbar ini, 13 Februari lalu.
Noorhasnie berkata, setakat ini, kira-kira RM5,000 daapt dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai selepas kisah anaknya itu disiarkan akhbar Sinar Harian.
"Itu pun saya pilih pembedahan ‘chemo port’ yang paling murah kerana kosnya bermula dari RM10,000 ke atas hingga paling mahal," katanya.
Tambahnya, dengan pendapatan suami mengambil upah menanam sayur, dia tidak mampu mengumpul baki kos pembedahan anaknya itu tanpa bantuan orang ramai.
Mereka berhasrat membantu Siti Nur Jannah boleh menyalurkan sumbangan melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor akaun 03012-41-00010952-7 atas nama Noorhasnie Zulkapli atau hubungi talian 011-19928840.