KEMBARA seni Judika bermula dengan 1,001 cabaran demi merealisasikan impian sedari kecil untuk bergelar penyanyi.
Kini, penyanyi berusia 38 tahun ini mampu berbangga dengan kejayaan yang dimiliki.
Pun begitu, pemilik nama sebenar, Judika Nalon Abadi Sihotang ini mengakui belum berpuas hati dengan pencapaian itu.
“Bagi saya, hidup merupakan satu proses mencapai pelbagai impian pada masa depan. Ternyata, ada lagi impian yang masih belum tercapai seperti bikin konsert di Los Angeles (LA).
“Jadi, saya masih lagi belum puas dengan apa yang dimiliki.
“Tapi, saya tetap bersyukur dengan perubahan hidup yang berlaku,” katanya kepada media ketika ditemui pada sesi pendengaran eksklusif lagu untuk album keenam, baru-baru ini.
Judika mula mencipta nama sebagai penyanyi selepas diangkat sebagai pemenang kedua program realiti, Indonesia Idol 2, pada 2005.
Sejak itu, nama pelantun lagu Bukan Dia Tapi Aku ini mula di meniti bibir peminat bahkan perjalanan seninya juga semakin berkembang.
“Saya menikmati hidup ini dengan proses perjuangan.
“Walaupun saya mula menyanyi sejak usia tujuh tahun, tetapi baru hari ini saya kecapi semua ini.
“Bagi saya, jika mahu berjaya, harus melakukan sedikit pengorbanan,” katanya.
Tambah Judika, awalnya, pembabitannya dalam bidang seni tidak mendapat restu ibu-bapa.
“Ketika berpindah di Jakarta untuk menyambung pelajaran, saya menyara diri dengan bekerja di kafe.
“Saya lebih suka berusaha sendiri daripada menyusahkan keluarga.Kerana terpaksa berbahagi waktu, saya akhirnya berhenti belajar dan memilih menjadi penyanyi,” katanya.
Kata Judika, situasi itu terus membuatkan kedua ibu bapanya kecewa dan putus harap dengannya.
“Mereka sanggup bekerja keras kerana mahu saya punya kerjaya yang bagus seperti doktor ataupun jurutera demi menjamin masa depan yang juga menjadi kelaziman bagi suku kaum Batak di Sumatera Utara.
“Sebab itu, mereka sangat kecewa dengan keputusan saya,” katanya.
Enggan mengalah, penyanyi lagu Aku Yang Tersakiti ini berusaha mengubah persepsi lapuk ibu bapanya terhadap potensi anak seni dalam meraih kejayaan.
“Saya mahu mereka tahu, kerjaya yang saya pilih juga adalah yang terbaik!
“Saya bersyukur kerana karier ini juga mampu membantu keluarga sekali gus berjaya mengubah pendirian ibu bapa saya.
“Akhirnya, saya membuktikan yang orang seni juga boleh berjaya,” tegasnya.
Nyanyi lagu peminat
Dalam pada itu, Judika turut membantu merealisasikan impian peminatnya melalui Judika Project iaitu pertandingan penulisan lagu khusus buat kelab peminatnya, Judikaholic yang berkebolehan mencipta lagu.
Lebih menarik, penyanyi lagu Setengah Mati Merindu ini turut memilih lima lagu daripada 400 penyertaan untuk dimuatkan dalam album terbarunya kelak.
“Walaupun hanya lima lagu terpilih, tetapi saya ambil masa yang panjang untuk mencari yang sesuai.
"Akhirnya saya memilih lagu Jikalau Kau Cinta, Ku Cintamu Sang Penipu, Sang Juara, Jadi Aku Sebentar Sahaja dan I Love You," katanya yang mengakui mengambil tempoh selama lapan bulan untuk menyiapkan album keenamnya.
Tambahnya, pertandingan itu juga bertujuan menghargai ketulusan dan keikhlasan peminat yang terus menyokong perjalanan seninya sejak lebih 10 tahun lalu.
“Peminat saya juga punya angan-angan untuk berjaya dalam bidang seni, jadi saya cuba bantu. Ini adalah cara terbaik menyanyikan lagu-lagu ciptaan peminat.
“Bahkan, saya pernah susah mencari ruang dalam industri. Turun naik syarikat rakaman bukan sekali dua dengan karya ditolak mentah-mentah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, suami kepada Duma Riris Silahi ini berhasrat membikin album duet bersama barisan penyanyi idolanya selepas ini.
“Salah seorangnya sudah tentulah Datuk Siti Nurhaliza,” katanya sambil tertawa.