GENEVA - SWITZERLAND. Lebih 200,000 orang awam telah kehilangan tempat tinggal sejak operasi besar-besaran dilancarkan untuk membebaskan bandar Mosul dari cengkaman kumpulan militan Daesh pada pertengahan Oktober lalu.
Laporan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) mendedahkan jumlah mereka yang menjadi pelarian sepanjang tempoh itu telah melebihi 206,000 orang.
"Jumlah itu termasuk 45,000 penduduk yang melarikan diri dari kawasan barat bandar tersebut," jelas laporan itu.
Akhir bulan lalu, operasi baharu dilancarkan untuk merampas semula bahagian barat Mosul selepas berjaya membebaskan kawasan timur pada Januari lalu.
Menurut beberapa penduduk yang berjaya melarikan diri dari bandar itu, Daesh didakwa menggunakan kaedah kejam atau penyeksaan untuk mengelakkan penduduk dari melarikan diri atau bekerjasama dengan tentera kerajaan.