KUALA SELANGOR  – Misteri kehilangan seorang pencari siput terjawab  apabila ‘mangsa’ ditemui selamat selepas keluar dari kawasan hutan paya bakau di Bagan Sungai Yu, kira-kira jam 3 petang tadi.
Azam Mohamad Tasik, 27, yang juga penduduk Sawah Sempadan itu disangka hilang selepas masuk ke dalam kawasan hutan paya bakau itu rupa-rupanya bermalam di kawasan pantai berhampiran.
Menurutnya, dia tidak mengetahui rakannya masih mencarinya di dalam hutan memandangkan sebelum itu, mereka berpakat untuk mencari siput di kawasan hutan terbabit.
“Memang saya pertama kali tidur dekat sini sebab sebelum ni kalau cari siput saya akan balik rumah…tapi tak tahulah. Terkejut juga bila tengok ramai orang dan lagi terkejut bila kata mereka cari saya.
“Tapi saya OK dan tak ada apa-apa. Tak sangka pula orang ingat saya hilang sebab saya tidur dekat pantai malam tadi,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Seorang pencari siput dilaporkan hilang di kawasan hutan paya bakau selepas keluar mencari siput lewat jam 6 petang, semalam di Bagan Sungai Yu.
Kerja mencari dan menyelamat dijalankan sejak jam 10 malam tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Azmi Abbas berkata, mangsa ditemui selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan manakala operasi dihentikan jam 3.30 petang.