RUNSING
 dengan gelaran Terengganu serba serbi mahal, seorang peniaga berazam menukar persepsi itu dengan mengambil inisiatif menjual Nasi Lemak Samah pada harga 50 sen di premis perniagaannya di Jalan Durian Burung, Kuala Terangganu.
Pemilik kedai makan Dapo Barokah, Azahari Yusof, 39, berkata, persepsi terutama dalam kalangan orang luar itu tidak sedap didengar kerana masih terdapat makanan yang dijual pada harga murah di negeri ini.
“Idea menjual nasi lemak pada harga 50 sen ini timbul bila dengar rungutan rakan-rakan termasuk orang luar bahawa makanan di negeri ini mahal berbanding di tempat lain.
“Jadi, saya ambil keputusan untuk jual makanan dan minuman pada harga murah. Walaupun untungnya agak sikit, ia memberikan kepuasan kepada seorang peniaga apabila pelanggan turut berpuas hati,” katanya.
Nasi Lemak Samah sambal ikan bilis hasil air tangan isterinya, Elmawati Eri, 33, dibuat atas permintaan pelanggan.
“Kalau sebelum ini kita buat nasi lemak dan bungkus siap-siap, sekarang kita tukar strategi perniagaan dengan menerima tempahan bagi menu itu. Selain itu, ada menu lain seperti nasi lemak telur, nas lemak ikan dan nasi goreng ikan.
“Kita juga ada menu masakan panas pada sebelah petang dan malam bermula harga RM3.50. Ada juga menu laksa Sarawak yang dijual pada hari minggu,” katanya.
Dapo Barokah turut memperkenalkan menu baharu, Doktor ABC sejak seminggu lalu dan menarik minat pelanggan yang berkunjung ke kedai makannya itu.
Katanya, Doktor ABC adalah menu hasil sumbangan idea kreatif Kuala Terengganu Residen (Kuterer) yang banyak membantu sejak beliau mula membangunkan kedai di situ.
“Kini Dapo Barokah ada menu baru, ABC dengan dua pilihan Doktor ABC dijual RM3.50 dan mengandungi 13 bahan serta Meksi ABC (lapan bahan) berharga RM2.50,” katanya
.