KOTA BHARU - Pedang zaman Rasulullah SAW berusia 1,400 tahun lalu merupakan antara tarikan utama yang bakal menarik pengunjung ke pameran Karnival Kesenian, Kebudayaan Islam dan Keusahawanan di MRSM Pengkalan Chepa yang berlangsung selama empat hari bermula semalam sehingga 9 Mac ini di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa.
Pengarah Mara Kelantan, Ismail Abdullah berkata, ini merupakan pameran julung kali yang mendapat kerjasama dengan Dubaiz Islamic Concept dengan membawa 22 artifak tulen yang digunakan pada zaman tamadun Islam.
Pameran terbabit merangkumi, Pedang Saidina Abu Bakar al-Sidiq serta Khalid al-Walid, perisai dan baju besi peperangan, artifak tokoh cendekiawan Islam di Kelantan, koleksi baju perang sahabat Nabi SAW juga ada dipamerkan selain peralatan senjata Islam dari Parsi, Monggol dan pada zaman Kesultanan Melayu.
Ismail berkata,pameran itu juga bakal menarik 3,000 hingga 5,000 pengunjung dan jika ia melebihi sasaran ia merupakan satu sambutan yang baik memandangkan pameran terbabit julung kali diadakan.
“Rugi jika lepaskan peluang untuk menyaksikan barangan dan artifak pejuang Islam terdahulu yang mempunyai nilai yang tinggi dan merupakan barangan yang digunakan semasa zaman dahulu lagi namun masih kukuh dan disimpan rapi untuk tatapan umum.
“Inilah usaha pihak Mara dalam mewujudkan generasi Islam agar menghargai dan memahami nilai Islam yang sebenar dalam perjuangan pimpinan terdahulu.
"Di samping itu kita n turut adakan pameran keusahawanan dengan menyediakan 'both' jualan dan acara kemuncak akan dihadiri oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, pada hari penutup 9 Mac dalam program 'Bicara Mufti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis pelancaran Karnival Kesenian, Kebudayaan Islam dan Keusahawanan di MRSM Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengetua MRSM Pengkalan Chepa, Abdul Aziz Baba.
Ismail berkata, bagi pengunjung yang berminat untuk menyaksikan secara dekat pameran terbabit boleh berbuat demikian dengan bayaran RM 10 untuk dewasa dan RM 5 untuk kanak-kanak