REMBAU - Seorang peniaga kedai makanan terkejut apabila mendapati pokok pisang yang ditebangnya mengeluarkan jantung di bahagian yang dipotongnya, di Kampung Semerbok, di sini, Khamis lalu.
Peniaga berkenaan, Zulkefley Kasim, 50, berkata, keanehan itu disedari isterinya yang kebetulan ingin memetik lada dan terkejut sebaik melihat ada jantung pisang yang keluar daripada bahagian berkenaan.
Menurutnya, dia sudah dua kali menebang pokok pisang jenis abu berkenaan yang sudah berusia lebih 10 tahun, kerana ingin melapangkan kawasan dan membiarkan anak pokok pisang yang lain pula membesar.
“Tak sangka pula boleh keluar jantung di bahagian yang ditebang. Hari ini (semalam) kelihatan tandan pisang keluar dari jantung ini. Pelik tak pernah saya lihat sebelum ini, namun saya anggap semuanya dengan izin ALLAH.
“Saya tak berhasrat memakan hasil pokok ini dan hanya ingin lihat apa akan berlaku ke atas jantung serta pisang itu semasa proses pembesarannya,” katanya.