BUKIT MERTAJAM - Sepasang suami isteri memerlukan sekurang-kurangnya RM70,000 bagi membiayai pembedahan anak perempuan mereka berusia lapan bulan.
Sabri Yahaya, 45, berkata, anak ketiganya Nurul Safiyya mula menghidap masalah jantung ketika berusia sebulan selepas pernafasannya itu tidak normal dan terlalu laju.
Bimbang sesuatu yang tidak diingini berlaku, dia dan isteri membawa anaknya ke hospital bagi melakukan rawatan dan terkejut apabila dimaklumkan puteri kesayangan mereka menghidapi masalah jantung berlubang dan saluran sempit.
“Selepas dilahirkan Safiyya mengalami masalah kuning yang serius dan tidak lama kemudian keadaannya bertambah teruk apabila disahkan menghidap masalah jantung.
“Sebolehnya saya mahu melakukan pembedahan ini secepat mungkin tapi kosnya terlalu tinggi saya terpaksa tangguhkan dahulu dan sedang berusaha kumpul dana yang diperlukan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediaman mereka di Kampung Sireh, di sini, petang semalam.
Sabri yang bekerja sebagai pembantu am di sebuah syarikat kanopi memperoleh pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan manakala isterinya, Rozilah Bakar, 35, pula hanya seorang suri rumah.
Pasangan itu turut mempunyai dua lagi anak, Muhammad Aiman, 9 dan Nurul Ariana, 4, yang masih bersekolah.
Sabri berkata, setiap bulan dia perlu membawa anaknya menjalani pemeriksaan di hospital dan bimbang keadaan anaknya akan menjadi semakin serius di samping berlaku beberapa komplikasi lain.
Katanya, walaupun Safiyya kini telah berusia lapan bulan namun beratnya hanya sekitar empat kilogram sahaja.
“Setakat ini saya sudah berusaha untuk dapatkan dana  termasuk membuat pelbagai permohonan.
“Sejak kisah Safiyya tular di laman sosial, kami telah menerima sumbangan kira-kira RM3,000, ”katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan melalui akaun Bank Islam milik Sabri Yahaya 07-052-02-041577-0.