GUA MUSANG - Sungai Lebir di daerah ini dilihat berpotensi dijadikan kawasan rekreasi baharu sekali gus diwartakan sebagai tapak warisan negara.
Ia diakui selepas program Ekspedisi Sungai Lebir pada 2 hingga 5 Mac lalu, anjuran Unit Inisiatif Kelestarian, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Pensyarah kanan Fakulti Sains Bumi, Dr Noor Janatun Naim Jemali berkata, ekspedisi tersebut merupakan langkah permulaan untuk mengkaji dan menyelidik prospek sungai berkenaan yang berpotensi dibangunkan sebagai pusat pelancongan baharu.
Katanya, ekspedisi berkayak sepanjang 55.2 kilometer (km) bermula dari Taman Negara Kuala Koh itu melibatkan tiga persinggahan iaitu Kampung Aring 6, Kampung Simpang Lepar dan Kampung Pasir Linggi.
“Sungai Lebir dipilih sebagai lokasi ekspedisi kali ini berdasarkan kedudukan, kepentingan dan keadaan sungai yang mempunyai banyak sumber asli serta biodiversiti sungai yang unik.
“Beberapa kajian saintifik terutama bagi melihat diversiti flora dan fauna di sepanjang Sungai Lebir, vegetasi zon penampan, morfologi dan batuan sungai sepanjang Sungai Lebir dijalankan dalam ekspedisi ini.
“Hasil kajian dan data penyelidikan diperoleh membolehkan Sungai Lebir dijadikan sebagai sebuah tapak warisan berharga untuk negara,” katanya.
Ekspedisi sempena sambutan Hari Air Sedunia (Unesco) ini disertai 80 peserta yang terdiri daripada pelajar dan pensyarah Fakulti Sains Bumi, UMK khususnya dari program Sains Sumber Asli, Sains Kelestarian, Geosains dan program Teknologi Sumber Hutan serta Jabatan Alam Sekitar cawangan Gua Musang.
Tahap kualiti air baik
Tambah Janatun, sepanjang ekspedisi berkenaan, dia mendapati terdapat banyak kesan hakisan serta banjir 2014 yang dijumpai di sepanjang sungai tersebut.
“Bagaimanapun, zon penampan (buffer zon) bagi Sungai Lebir masih terjaga atau tidak diceroboh walaupun ada kesan hakisan dan sebagainya.
“Selain aktiviti berkayak, khidmat komuniti dan aktiviti kemasyarakatan juga turut diadakan di kawasan persinggahan di antara perhentian.
“Aktiviti ini juga memberi peluang kepada masyarakat luar untuk berinteraksi dan lebih mengenali UMK serta tugas dan peranan dalam membantu membangunkan kawasan-kawasan sekitar negeri Kelantan,” katanya.
Rentetan ekspedisi ini, ada juga ahli kumpulan yang melawat ke tempat penemuan fosil dinosaur yang terletak antara Taman Negara Kuala Koh ke Kenyir.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi, Dr Mohamad Faiz Mohd Amin memberitahu, jarak 12km pertama dari Taman Negara Kuala Koh, kualiti air adalah pada tahap kelas kedua mengikut indeks kualiti air Jabatan Alam Sekitar.
“Tahap kualiti air berkenaan didapati dapat menampung kebanyakan spesies ikan sensitif seperti ikan kelah.
“Manakala selepas 12km, kualiti air adalah pada kelas ketiga di mana hidupan akuatik mempunyai toleransi terhadap kandungan oksigen terlarut yang rendah,” katanya.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi, Dr Nazahatul Anis Amaludin, terdapat banyak spesies hidupan liar seperti lotong, enggang paruh putih, burung helang dan pelbagai serangga dijumpai sepanjang Sungai Lebir.
“Tidak mustahil sekiranya sungai ini dijadikan satu lagi lokasi baru untuk diwartakan sebagai kawasan rekreasi dan pelancongan yang boleh dilawati di Hulu Kelantan,” katanya lagi.