HULU TERENGGANU - Berbudi pada tanah, pasti ada hasilnya. Kebenaran pepatah itu dibuktikan peserta tanaman timun dan cili secara berkelompok, di sini, yang terus mengukir senyuman setelah projek diusahakan itu telah mampu mengubah corak kehidupan.
Malah, majoriti mereka yang sebelum ini dikategorikan golongan miskin serta penerima rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kini telah berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan hasil projek dimulakan sejak tahun 2010 lalu.
Berkongsi cerita, Ketua Unit Peladang Kampung Pela, Abd Rahman Mohamad, 53, berkata, terdapat lapan peserta mengusahakan tanaman dijalankan secara fertigasi ini melibatkan keluasan tanah kira-kira 1.2 hektar di kampung itu.
“Peringkat awal dulu, projek berkelompok secara fertigasi ini dimulakan dengan tanaman cili, namun setelah dua tahun selepas itu ia ditukar kepada timun yang mengambil masa hanya dua bulan setengah bagi menuai hasil dan jenis tanaman kekal hingga kini.
“Tanaman timun ini ditanam tiga kali setahun dengan purata hasil dituai setiap musim sekitar 40 tan sekali gus memperoleh pandapatan kasar antara RM35,000 hingga RM40,000. Bermakna, bagi tempoh setahun, projek tanaman ini memberi perolehan hingga RM130,000.
“Harga pula bergantung kepada pasaran iaitu antara RM1.30 hingga RM1.40 sekilogram yang dijual secara borong iaitu seberat 10 kilogram (kg) bagi setiap paket. Pemborong atau peraih akan datang ke tapak projek untuk dapatkan timun.
“Projek tanaman yang turut menerima bantuan pihak Peladang terbukti memberi manfaat kepada peserta terutamanya ibu tunggal serta peserta PPRT. Impaknya begitu positif kerana peserta kini sudah keluar dari kelompok miskin,” katanya.
Seorang peserta, Shahrul Nizam Hussin, 41, berkata dia mengusahakan tanaman timun di bawah projek tanaman berkelompok itu atas tanah keluasan kira-kira 0.4 hektar dengan menggunakan 1,500 polibeg.
“Setiap pokok dapat keluarkan hasil kira-kira tiga ke lima kg. Walaupun masih baru, hasilnya memberangsangkan dan telah pun terbukti mampu menjana pendapatan kepada para peserta terlibat.
Bagi Anasalwati Mustafa, 49, berkata, kejayaan projek tanaman berkelompok diusahakannya juga hasil bantuan daripada Pertubuhan Peladang serta tunjuk ajar daripada Jabatan Pertanian yang sentiasa memantau projek dijalankan ini
.