SIK - Kerajaan Negeri Kedah berhasrat menggiatkan usaha mempromosikan daging itik sebagai makanan alternatif menggantikan ayam ke seluruh daerah di negeri ini, kata seorang anggota Exco.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, daging itik mempunyai potensi besar untuk dikembangkan pasarannya.
"Kerajaan Negeri Kedah menerusi Kumpulan Ladang Perbadanan Kedah, memiliki ladang menternak kira-kira 50,000 itik daging di Sungai Petani dengan pengeluaran kira-kira 15,000 ekor itik seminggu, namun permintaan hanya datang dari negeri lain.
"Sebab itu kita akan giatkan promosi dan kita berharap semua pihak khususnya peniaga makanan, dapat turut sama membantu mengetengahkan itik sebagai makanan alternatif," katanya kepada pemberita selepas meninjau Jualan Ikan Rakyat di tapak pekan sehari Sik di sini, hari ini.
Tambahnya, harga pasaran sekilo itik ialah RM9 sedangkan harga yang ditawarkan, khususnya di lokasi Jualan Ikan Rakyat, hanya serendah RM7 sekilogram.  
"Usaha yang dilakukan kerajaan negeri ini bertujuan membantu mengurangkan beban rakyat, (mereka) ada pilihan lain selain ayam," kata Suraya.
Terdahulu, tinjauan Bernama di lokasi Jualan Ikan Rakyat di sini mendapati, 80 ekor itik dijual dalam tempoh kurang 20 minit.
Selain itik, hasil laut termasuklah pelbagai jenis ikan, udang dan sotong turut dijual pada harga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.
Suraya berkata, Jualan Ikan Rakyat dengan kerjasama Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) akan diteruskan ke daerah lain yang kedudukannya terletak jauh dari laut, seperti Baling.
"Kita sudah buat di Pendang dan Sik, selepas ini mungkin di Baling pula, ia terbukti membantu rakyat, contohnya ikan temenung, kita jual pada harga serendah RM11 sekilogram," katanya.