WAJAH penyanyi dan pelakon popular, Amy Mastura masih kelihatan muda dan menawan meskipun usianya hampir separuh abad.
Bahkan, penyanyi berusia 46 tahun ini juga menolak untuk membuat rawatan estetik sebaliknya mahu melalui proses penuaan secara semula jadi.
“Tak salah pun kalau punya wajah kerepot. Biasalah, bila ada kedut di muka, lagi-lagi apabila dah berusia 40 tahun.
“Nak tak nak, kena terima hakikat juga yang saya dah makin tua (ketawa),” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Sha Na Na ini mengakui bimbang untuk menjalani kaedah perubatan estetik lantaran memikirkan kesan jangka panjangnya nanti.
"Saya tak nafikan, rawatan ini akan buat kita nampak cantik dan sempurna. Mana yang kendur jadi tegang, yang kusam pula jadi terang.
"Tapi, perlu ingat, rawatan secara paksaan ini biasanya tak kekal lama.
"Ia bersifat sementara dan perlu dibuat berterusan mengikut keperluan. Saya risau jika kaedah ini akan ganggu sistem perjalanan tubuh.
"Saya jadi bertambah takut sekiranya ada kesan sampingan yang timbul selepas itu,” katanya.
Amy mengakui lebih senang mengamalkan konsep sederhana termasuklah dalam penjagaan kecantikan.
"Saya bersyukur dengan kehidupan yang saya miliki. Tapi, terpulanglah kepada wanita di luar sana nak memilih kecantikan yang macam mana,” katanya.
Hos bersama Jihan Show
Terkini, Amy turut terlibat sebagai hos bersama di samping pengacara, pelakon dan pelawak, Jihan Muse dalam Jihan Show.
Selain Amy dan Jihan, program sitkom dan bual bicara itu turut menampilkan Zara Zya dan Syuk Joras.
"Saya tak ada masalah untuk bekerjasama dengan mereka.
"Apa yang penting, amalkan sikap hormat- menghormati di antara satu sama lain. Kalau kita hormat orang, sudah tentu orang lain akan turut menghormati kita," katanya.
Pada masa sama, bintang filem Puteri Impian ini mengakui terkejut dan terharu apabila Jihan pernah menjadi peminat setianya satu ketika dulu.
"Jujurnya, saya tak tahu yang dia juga ahli kelab peminat saya. Mungkin tak perasan.
"Saya tak sangka, akhirnya saya bekerjasama dengan peminat saya sendiri.
"Jadi, saya takut jika dia meletakkan jangkaan yang tinggi terhadap saya," katanya.
Kata Amy, perkenalannya dengan Jihan sebelum ini hanya lebih kepada rakan artis kerana berada dalam satu industri.
"Sebelum ini, saya hanya kenal dia sebagai pelawak. Yelah, tak ramai pelawak wanita di negara ini.
"Lagipun, saya juga kadang-kadang suka melawak, tapi tak tahu pula rupa-rupanya dia peminat saya," katanya.