TOKOROZAWA - JEPUN. Bagi yang gemar makan di restoran, sudah pasti akan teruja dan berselera apabila terlihatkan replika makanan diletakkan di bahagian hadapan restoran.
Itulah penarik yang biasa digunakan pengusaha restoran untuk menarik pelanggan. Bukan sahaja mi, sushi, burger malah daging stik juga begitu menyelerakan.
Memetik laporan Japan Times, di Jepun, perkara ini sudah menjadi kebiasaan.
Masyarakat di sana sejak dahulu sememangnya lebih berselera untuk memesan menu yang dilihat dari dalam kaca biarpun tahu ia bukan asli.
Rupa yang sama diletakkan dalam bekas makanan sebenar, warna memikat sudah pasti menggamit rasa lapar di kalangan pelanggan.

Pembuatan replika makanan ini sudah lama diusahakan walaupun ia tidak begitu komersial.
Noriyuki Mishima, 79, menghabiskan masa hampir enam dekad sebagai artis replika makanan ini.
Membuat replika makanan sudah menjadi kepakarannya.
"Dulu, saya tengok orang buat organ dalaman manusia untuk digunakan di hospital-hospital.
“Jadi, saya cuba buat untuk makanan pula, memang susah pada mulanya kerana perlu sama dengan setiap menu.
Tapi lama-kelamaan, ia menjadi dan saya tak pernah tukar kerja lain.

“Saya juga tak pernah kira berapa banyak saya buat replika makanan ni, mungkin mencecah puluhan ribu.
“Walaupun sudah lama berkecimpung dalam dunia ini, tetapi ia tetap sukar, lagi-lagi untuk mendapatkan warna yang betul,” katanya.  
Bagi Mishima, dalam banyak-banyak makanan yang dihasilkan, penyediaan replika sushi adalah paling sukar.
"Kalau buat ikan panggang, senang sahaja, warna-warna yang digunakan pun senang.
"Tetapi untuk mewujudkan warna kesegaran - itulah yang sukar," katanya.
Kebanyakan makanan boleh dibentuk dengan mudah menggunakan silikon, menggunakan acuan.

“Contohnya kek atau burger. Setiap kandungan burger daripada daging, tomato, keju - dibuat secara berasingan sebelum mereka dicat dan dipasang bahagian demi bahagian.
“Langkah terakhir adalah lapisan varnis bagi memberikan impak pada makanan supaya siapa yang melihat akan terus ‘tergoda’,” katanya.
Bekerja di perusahaan milik Norihito Hatanaka, tiada mesin atau peralatan canggih yang digunakan.
“Kami hanya gunakan alat mudah memotong, berus cat, berus udara dan ketuhar pengering, kami menggunakan kepakaran kami,” katanya.
Paling penting, mereka tidak lagi menggunakan lilin sebaliknya silikon yang lebih tahan lama dan lebih cantik pembuatannya.
Selepas beberapa lama mengusahakan pekerjaan ini, permintaan untuknya semakin tinggi.

Sementara itu, pengusaha replika makanan Hatanaka berkata, semakin hari permintaan untuk replika makanan ini bertambah.
“Jangan tidak percaya, harga untuk semangkuk replika makanan boleh mencecah hingga 6,000 yen (RM232.54) untuk satu menu.
“Restoran biasanya akan menempah mengikut menu yang mereka jual. Kini ia semakin menjadi trend di Jepun untuk menggunakan replika makanan berbanding gambar 3D.
"Pencetak 3D tidak boleh mencipta sentuhan artis dan ia akhirnya akan menjadi lebih mahal kerana bahan-bahan yang mahal dan anda masih akan mempunyai untuk menjaga lukisan mereka," katanya.
Jelasnya, artis replika makanan ini mempunyai kreativiti yang tidak ada pada mesin.

Namun, bukan semua restoran suka pada idea replika makanan ini. Bagi sesetengah pengusaha restoran, dengan memaparkan makanan, ia hanya membuka mata pesaing untuk meniru setiap menu di kedai mereka.
Tetapi Hatanaka tetap terus menghasilkan replika makanan ini kerana permintaan tidak hanya dari Jepun malah dari luar negara juga.
Dengan lapan kakitangan, Hatanaka berjaya menyiapkan setiap tempahan pada tempoh yang diberikan.