KUALA TERENGGANU – Penduduk sepakat membuang kepok atau binaan pusara sebagai usaha menjadikan kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Chendering lebih luas kerana keadaan semasa semakin sempit.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampungnya, Syed Aziz Tuan Kuning berkata, langkah berkenaan terpaksa diambil berikutan tanah di kawasan itu semakin sempit dan bimbang tidak mencukupi apabila terlalu banyak kepok diletakkan di atas pusara.
Menurutnya, hanya dengan cara itu, kawasan kubur menjadi lebih luas dan dapat digunakan dalam tempoh yang lebih panjang berbanding ketika adanya kepok.
“Memang ada yang bantah perbuatan ini, tetapi kepada mereka yang tidak izinkan, kami tak buang kepok di kubur saudara mereka, tetapi hanya segelintir dan selebihnya sudah separuh daripada kepok di kawasan itu dibuang.
“Kami gantikannya dengan batu nisan yang akan diletakkan nama si mati supaya memudahkan waris jenazah mencari kubur si mati termasuk anak serta cucu mereka pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Gotong-royong Membersihkan Tanah Perkuburan Islam, Kampung Raja, Chendering, di sini.
Syed Aziz berkata, dalam masa sama juga, pihaknya sedang berusaha mencari tapak kubur baharu untuk jangka panjang.
Tambahnya, beliau juga bercadang akan meletakkan papan tanda yang menunjukkan kedudukan kubur si mati di kawasan kubur itu untuk memudahkan saudara mara mengenal pasti kubur saudara mereka yang dikebumikan di tanah perkuburan itu.
“Lepas semua kerja-kerja membuang kepok ini selesai, kita bercadang mahu meletakkan nombor pada batu nisan yang disediakan secara percuma yang disumbangkan penduduk kepada tanah perkuburan ini.
“Apabila ada cucu atau cicit si mati datang ke kubur ini, mereka hanya perlu cari nama dan nombor pada papan tanda yang akan diletakkan, seterusnya dapat mencari kubur mana yang ingin diziarahi mereka berdasarkan maklumat pada papan tanda itu nanti,” katanya.
Syed Aziz berkata, jika mereka tidak bermula dari sekarang (membuang kepok), mungkin masalah tanah kubur menjadi semakin sempit dan tidak teratur serta bersih.
Biarpun ditentang segelintir penduduk, dia tidak kisah asalkan kawasan tanah perkuburan itu bersih, kemas dan dapat digunakan dalam tempoh yang lebih lama lagi.
“Kita (JKKK) boleh mohon kerajaan buat pengambilan balik tanah untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan baharu, tetapi kesian kepada penduduk yang akan terlibat dalam pengambilan ini (tanah), sebab itu buat masa ini, saya bersama penduduk sepakat membuang kepok.
“Kalau ada cara tidak libatkan tanah penduduk, saya akan usahakan, tetapi kalau sudah tidak ada cara lagi, ia (pengambilan tanah) terpaksa dilaksanakan juga,” katanya.