PASIR PUTEH - Zaman berubah dan hobi mengumpul setem kian lenyap, namun setem lama yang masih dalam keadaan baik tetap dianggap sebagai khazanah.
Pengumpul barangan antik, Anuar Salleh, 39, berkata, dia masih menyimpan beberapa album setem koleksi sendiri yang dikumpul sejak zaman kanak-kanak dan yang dibeli daripada orang ramai.
Katanya, penggunaan setem suatu ketika dahulu agak meluas kerana surat menjadi penghubung kepada kenalan yang berada jauh.
“Ketika itu, setem seperti jendela untuk kita melihat dunia luar kerana ia memaparkan gambar berkaitan negara pengeluar, inilah keunikannya.
“Apabila mel elektronik mendominasi, penggunaan setem berkurangan, namun setem lama yang masih saya simpan ini akan kekal sebagai khazanah tidak ternilai,” katanya yang tinggal di Cherang Ruku, dekat sini.
Menurutnya, surat menyurat di negara ini wujud sejak zaman pendudukan Inggeris di mana ia dimanterai lilin merah sebelum setem pos berpelekat diperkenalkan sekitar tahun 1850an.
Katanya, ketinggian nilai setem bergantung kepada tahun dikeluarkan, yang memaparkan gambar menarik dan saiz unik.
“Saya tak berhasrat menjualnya, biarlah kekal sebagai koleksi saya kecuali apabila terdapat lebih dari satu setem dari jenis sama.
“Lebih bertuah apabila kita dapat menyimpan kesemua setem dari siri dikeluarkan seperti siri senjata tradisional, buah-buahan, jenis burung. hidupan liar dan kebudayaan,” katanya.
Anuar berkata, ahli Persatuan Filateli Malaysia lebih mengetahui nilai satu-satu setem dan pernah suatu ketika dahulu satu setem yang tidak dicetak nilainya dikatakan bernilai RM5 juta.
Justeru katanya, menyimpan setem lama bukan kerja sia-sia kerana semakin lama disimpan, nilainya semakin melonjak.
“Setem merupakan satu koleksi kesayangan saya selain pelbagai jenis barangan lama dan antik seperti buku, poster, kotak rokok, permainan, perhiasan, radio, dan botol minuman,” katanya.