TIADA perkataan sesuai digambarkan selain mengasyikkan ketika menonton persembahan Konsert Nada Biru di Istana Budaya (IB) baru-baru ini.
Meski pun berlangsung hanya dua malam, iaitu pada 5 dan 6 Mac lalu, namun bagi peminat muzik Jazz dan R&B pastinya tidak melepaskan peluang menonton konsert hebat itu.
Jika sebelum ini pihak penganjur pernah meluahkan rasa kerana tidak mempunyai penaja menganjurkan konsert itu, tetapi, kini mereka harus berbangga kerana tanpa penajaan besar, konsert tersebut berlangsung dengan meriah dan jayanya.
Mengimbas sejenak konsert berkenaan, wajar dikatakan lapan penyanyi terlibat iaitu Atilia Haron, Salamiah Hassan, Adibah Noor, Dina Nadzir, Datin Paduka Julie Sudiro, Jaclyn Victor, Najwa Mahiaddin dan Datuk Yusni Hamid memukau dan menawan penonton hadir pada malam itu.
Persembahan selama dua jam itu tidak terasa tiba pengakhirnya dek penangan vokal penyanyi-penyanyi terlibat mengalunkan lagu-lagu indah.
Menariknya, setiap persembahan penyanyi pada malam itu, membuatkan penonton teruja menantikan lagu seterusnya.
Nyata meski pun hampir 25 lagu disampaikan, penonton masih berasa tidak cukup.
Konsert bermula menerusi persembahan pembukaan oleh Adibah Noor dengan lagu Hujan, diikuti lagu kedua Caught In The Rapture.
Kemudian barulah muncul Atilia tampil membawakan lagu Old Love dan Aku Curiga. Bagi peminat penyanyi genit ini, sudah pasti persembahan Atilia malam itu mengubati kerinduan mereka.
Pentas menjadi lebih meriah apabila Salamiah Hassan muncul untuk berduet bersama anaknya itu menerusi lagu Superstar.
Menurut ibu dan anak ini, lagu tersebut mempunyai makna besar kepada mereka.
Meneruskan konsert, Salamiah mengambil alih pentas dengan mendendangkan lagu Boleh Dilihat Dipegang Jangan.
Selepas itu, beliau meneruskan nyanyian dengan menyampaikan lagu A Song For You. Ketika lagu ini disampaikan, ada penonton mengalirkan air mata kerana tersentuh dan terharu dengan bait-bait lagu tersebut.
Aura Julie Sudiro
Dalam pada itu, pentas berprestij itu terus dihiasi dengan persembahan Julie Sudiro yang nyata dinantikan penonton malam itu.
Terkenal dengan gelaran suara emas, penampilannya menerusi lagu Smoke Gets In Your Eyes dan Shadow Of Your Smile membawakan aura berbeza kepada persembahannya.
Menariknya, beliau juga bijak beraksi dengan audiens yang rindu untuk melihat persembahannya.
Tidak cukup dengan penangan Julie Sudiro, pentas IB diambil alih pula oleh Najwa Mahiaddin.
Menerusi lagu Ocean dan Jealousy, persembahannya cukup hebat pada malam itu, sementelah Najwa memang terkenal menerusi lontaran vokalnya yang lantang dan cukup mengagumkan.
Saat dinantikan tiba apabila Jaclyn Victor hadir menghangatkan pentas tersebut menerusi lagu Moody’s Mood For Love, Summer Time serta Masquerade.
Sudah pastilah persembahan pelantun lagu Gemilang ini tidak boleh dipertikaikan. Setiap kali membuat persembahan, sama ada berskala kecil atau besar, ia pasti memberi impak kepada penontonnya.
Kemudian tiba giliran Dina Nadzir menyampaikan persembahan bersama Jaclyn Victor. Mereka beradu tenaga menyanyikan lagu How Come You Don’t Call Me, yang mendapat tepukan gemuruh daripada audiens malam itu.
Dina turut menghadiahkan peminat menerusi persembahan hebat ketika menyampaikan lagu One Last Cry dan Kau.
Sebagai pelengkap konsert, penyanyi terkenal dengan gelaran penyanyi di Raja, Datuk Yusni Hamid tampil menyanyikan lagu Mahligai Kayangan dan Cheek To Cheek.
Tidak hanya persembahan solo daripada penyanyi terlibat, mereka turut diberikan bonus apabila kelapan-lapan penyanyi tersebut tampil menerusi Bintang Malam dan Pak Ketipak Ketipung.
Secara keseluruhan, persembahan malam berkenaan sungguh menghiburkan. Kepada yang terlepas peluang menonton konsert ini, pastinya satu kerugian kepada mereka.
Atilia berpuas hati
Sebagai penganjur, Atilia memberitahu, dia sangat berpuas hati dengan konsert tersebut.
Bukan hanya kerana komitmen penyanyi terlibat sebaliknya pementasan berlangsung dengan begitu lancar dan berjaya.
“Penonton bersorak membuktikan mereka gembira dengan konsert ini.
“Walaupun, tidak mendapat tajaan hebat tetapi saya bersyukur kerana apa dirancang berjalan dengan baik,” katanya.
Tambahnya, konsert ketiga kali diadakan itu mencipta keajaiban berbanding konsert diadakan pada 2009 dan 2010.
“Untuk kedua konsert tersebut saya pernah membawa Yuna dan Noryn Aziz, saya sangka kali ini sambutan lebih kurang sama.
“Tetapi nyata ia lebih hebat. Sementelah kehadiran orang lama seperti Datuk Yusni Hamid dan Datin Paduka Julie Sudiro yang mempunyai kelas tersendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment